Kaedah subsidi pukal gagal capai matlamat bantu kumpulan sasar

Kaedah subsidi pukal gagal capai matlamat bantu kumpulan sasar

ARMIZAN Mohd Ali melawat pameran selepas merasmikan SCOL 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kaedah pemberian subsidi diesel secara pukal perlu diubah dan digantikan dengan pendekatan bersasar kerana ia tidak mencapai sasaran asal untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, malah, kaedah yang dilaksanakan sejak tahun 2001 itu dilihat tidak adil kerana membuka ruang kepada kegiatan penyelewengan dan penyeludupan bahan api itu sehingga menguntungkan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga menanggung perbelanjaan semakin besar dalam peruntukan subsidi setiap tahun dengan nilai keseluruhan mencecah RM91.9 bilion pada tahun lalu.

“Bagi tahun ini, peruntukan asal bagi keperluan subsidi adalah sebanyak RM64 bilion, namun kerajaan mengunjurkan nilai ini mencecah RM 80.9 bilion berdasarkan perbelanjaan semasa,” katanya pada Simposium Kos Sara Hidup (SCOL 2023) di sini hari ini.

Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan oleh pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dapatan daripada Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih mendapati kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95, manakala kumpulan B40 secara purata menggunakan RM243 sebulan.

Jelasnya, dapatan ini membuktikan bahawa kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat optimum.

“Kita perlu akui bahawa pemberian subsidi daripada kerajaan ini telah membantu dalam menstabilkan harga, menjamin bekalan dan secara tidak langsung membantu rakyat dalam mengurangkan beban kos sara hidup.

“Namun, limpahan manfaat daripada pemberian subsidi secara pukal sejak sekian lama ini turut dinikmati oleh golongan yang berpendapatan tinggi dan bukan warganegara

“Senario berterusan sebegini tidaklah optimum dari sudut fiskal dan adalah wajar bagi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan bagi menambah baik kaedah penyampaian bantuan yang lebih bersasar kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan mekanisme untuk meredakan keresahan rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang mencabar.

Katanya, agenda jaminan perlindungan sosial perlu dibuka seluas-luasnya. Kaedah sedia ada seperti waqaf, ‘endowment’, ‘social enterprise’ perlu diremajakan dan diketengahkan agar menjadi pelengkap kepada penyasaran semula subsidi.

“Sekiranya kita mempunyai jaminan perlindungan sosial dan penyasaran semula subsidi serta peranan pihak seperti waqaf, baitulmal dan lain-lain, saya percaya pengeluaran KWSP oleh pencarum kerana kecemasan luar biasa boleh dinoktahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya