Jual kek RM1 sepotong bantu golongan kurang mampu

Jual kek RM1 sepotong bantu golongan kurang mampu

NORALIZA Kamaruddin menjual kek pada harga RM1 sepotong dan RM36 sebiji demi melihat golongan kurang berkemampuan dapat menikmati juadah pemanis mulut itu. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Walaupun harga barangan keperluan membuat kek mengalami kenaikan, seorang peniaga tekad menjual pemanis mulut itu pada harga RM1 sepotong di kedai makannya Raziq Cafe di Seberang Balok, di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga terbabit, Noraliza Kamaruddin, 42, berkata, idea menjual pada harga RM1 itu tercetus selepas dia melihat harga kek semakin mahal di pasaran.

Katanya, dari situ timbul rasa simpati dalam dirinya apabila mengenangkan golongan kurang berkemampuan tidak dapat menikmati juadah tersebut kerana harganya yang semakin mahal.

“Sekitar lima bulan lalu, saya lihat keadaan ekonomi semakin meruncing. Saya yang merupakan seorang pencinta juadah pemanis mulut lihat juadah ini dijual pada harga mahal dan ramai yang kurang berkemampuan tidak dapat beli.

“Dari situ, saya cuba melakukan kajian dengan menggunakan bahan-bahan pada harga murah untuk menghasilkan kek berkualiti tinggi dan menjualnya pada harga mampu milik, iaitu RM1 sepotong.

“Walaupun menggunakan bahan-bahan murah, tapi saya sentiasa menjaga kuliti kek saya sebagaimana kek premium,” katanya di sini semalam.

Kata Noraliza, hasil inisiatifnya itu juga, tidak hanya dapat membantu golongan kurang berkemampuan menikmati juadah terbabit, malah juga dapat membantu orang ramai menjana pendapatan.

“Sejak saya menjual kek RM1, ramai dalam kalangan suri rumah yang datang membuat tempahan untuk menjual semula kek saya pada harga yang dikatakan masih boleh memberi keuntungan kepada mereka,” katanya.

Katanya lagi, setiap hari dia menghasilkan 12 jenis kek dan keknya terjual sekitar 17 biji pada hari biasa dan mencecah 30 biji pada hari minggu dan cuti umum.

Noraliza berkata, meskipun penjualan kek pada harga RM1 tidaklah memberikan keuntungan yang besar buatnya, dia berpuas hati dapat menggembirakan orang ramai dengan menikmati juadah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya