PETALING JAYA: Jentera Barisan Nasional (BN) yang berada di Kemaman untuk pilihan raya kecil (PRK) diarahkan untuk sama-sama berganding bahu membantu sekiranya berlaku sebarang bencana susulan ancaman banjir yang disebabkan oleh perubahan monsun.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, arahan itu melibatkan seluruh jentera BN di peringkat bahagian mahupun di pusat daerah mengundi (PDM) yang berada di Parlimen Kemaman ketika ini.
“Pengalaman jentera BN yang turun membantu akar umbi sebelum ini, sekurang-kurang dapat memberi bantuan awal dalam ketidaktentuan situasi banjir ketika ini,” katanya dalam satu catatan di media sosial.
Setakat pukul 6 pagi tadi, seramai 4,044 mangsa yang terdiri daripada 1,071 keluarga dilapor ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Terdahulu Ahmad Zahid menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya yang berada di kawasan yang terdedah kepada bencana banjir agar bersedia dan bersiap siaga di dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), saya telah memastikan persediaan awal seperti perancangan SOP menyelamat dilakukan sebaiknya dan mengharapkan kerjasama daripada semua agensi kerajaan untuk dimobilisasikan secara berkesan dalam pelaksanaan segala langkah keselamatan.
“Saya yakin dengan koordinasi yang baik, kita dapat mengurangkan kesan atau dampak negatif dari bencana ini,” katanya.
Dalam hantaran sama, Ahmad Zahid mengingatkan, rakyat Malaysia khususnya di Kemaman untuk terus mematuhi arahan dan petunjuk yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.
“Marilah kita berdoa agar kita dapat melalui ujian ini dengan kekuatan dan ketabahan. Saya yakin, dengan semangat kebersamaan, kita akan hadapi ujian ini dengan ketahanan dan kesabaran,” katanya. – UTUSAN










