KOTA KINABALU: Tidak berpuas hati dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob melemparkan tuduhan terhadap UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO-Lamag) menggelar Yusof seperti monyet.
Beliau mengeluarkan gelaran begitu apabila ADUN Sindumin beberapa kali cuba mencelah ketika beliau membahaskan belanjawan negeri dalam persidangan DUN Sabah hari ini.
“Bolehkah begitu Tuan Speaker, macam monyet mengacau, saya berdiri dia bercakap. Jaga, kalau tidak mahu (digelar monyet), saya ini bukan ayam mati, saya tahu jugalah (peraturan).
“Tidak ada laluan..sudah tadi. Kalau mahu debat di luar cari tempat, jangan buang masa saya. Saya tidak akan layan orang yang tidak berintegriti. Kalau tidak bermaruah, sorry no place for you (maaf tiada ruang untuk kamu),” katanya.
Walau bagaimanapun, Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya telah meminta Bung Moktar untuk menarik penggunaan perkataaan ‘monyet’ tersebut dan kenyataan itu juga telah ditarik balik.
Sebelum itu, Bung Moktar turut menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap Yusof yang melemparkan tuduhan bahawa kemasukan UMNO di Sabah menyebabkan negeri ini semakin jauh ketinggalan.
Katanya, ADUN Sindumin melemparkan tuduhan yang tidak berasas kepada UMNO, UMNO bukan begitu dan Yusof sendiri berasal dari UMNO dan mendapat banyak keuntungan daripada UMNO.
Namun, sekarang Yusof telah menjadi pengkhianat setelah melompat parti selama beberapa kali.
“Dia punya lompatan bukan sekali dua, banyak kali. Jadi, kalau pengkhianat beginilah, scheme of things ini berlaku daripada dialah, dia tahu tapi dia tuduh kita.
“Hari ini UMNO dipimpin oleh saya, ini tidak akan berlaku lagi. Saya bukan manusia yang luar biasa tapi saya tahu, apa yang rakyat Sabah mahu. Jadi Sindumin, cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar. Majoriti hujahan Sindumin seperti meludah ke langit terkena muka sendiri,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan perbahasan Yusof, beliau mendakwa UMNO dibawa masuk ke Sabah sebab pemimpin Sabah ketika itu bercakaran sesama sendiri. Maka, sekarang diharap semua harus sedar dan insaf.
ADUN Sindumin itu berkata, beliau salah seorang yang membawa UMNO masuk ke Sabah kerana pada masa itu beliau mahu melihat Sabah maju seperti Selangor dan Johor.
“Tapi, kita silap semasa UMNO berada di Sabah, kita semakin terhakis, kita semakin jauh ketinggalan. Malah pemimpin UMNO Pusat, Setiausaha Agung UMNO dan Pengerusi Mara mengumumkan bahawa semua ketua-ketua bahagian UMNO Sabah menjadi penyelaras Pusat Giat Mara.
“Ini tidak wajar apabila parti secara terus terang campur tangan dalam urusan kerajaan. Pusat Giat Mara milik kerajaan, bukan milik UMNO. Maka, saya harap kerajaan Sabah boleh buat protes mengenai perkara ini,” katanya. –UTUSAN