Jadikan keindahan dasar laut tarikan pelancongan bertaraf dunia - Sultan Terengganu - Utusan Malaysia

Jadikan keindahan dasar laut tarikan pelancongan bertaraf dunia – Sultan Terengganu

SULTAN Mizan Zainal Abidin (dua kiri) berkenan tertarik melihat gambar-gambar yang dipamerkan pada Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photograhpy Awards 2023 di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mahu keindahan dasar laut di negeri itu terutama di pulau-pulau peranginan terus dipromosikan sebagai tarikan pelancongan bertaraf dunia.

Baginda bertitah, Terengganu adalah negeri yang bertuah kerana dikurniakan dengan keindahan dan keunikan sumber alam semula jadi di samping mempunyai persisiran pantai yang panjang. 

Menurut baginda, Terengganu juga mempunyai tujuh rangkaian kepulauan yang menarik iaitu Pulau Perhentian Besar, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Lang Tengah, Pulau Redang, Pulau Bidong, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol yang mempunyai daya tarikan sendiri serta terkenal di seluruh dunia.

“Pertandingan Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 ini sebenarnya bermula daripada perbincangan bersahaja yang ringkas di Coral Redang Resort untuk mencari konsep baharu dalam aspek promosi pelancongan.

“Cadangan pertandingan ini juga tiada pembayaran yuran untuk menggalakkan penyertaan dengan menghantar gambar-gambar dasar laut yang menarik secara atas talian.

“Pertandingan ini adalah satu inisiatif pihak swasta dan Beta berharap pertandingan ini terus mendapat sokongan daripada orang ramai dan pihak kerajaan negeri seterusnya menjadi sebahagian daripada aturcara kalendar tahunan pelancongan di Terengganu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 di Istana Syarqiyyah dekat Chendering, di sini, semalam.

Tambah baginda lagi, pertandingan itu telah berjaya menarik minat penggiat seni fotografi di dasar laut untuk merakamkan kecantikan dan keunikan itu melalui lensa kamera.

“Mereka dapat membawa kita ke satu alam dasar laut yang jarang dilihat dan diterokai. Inilah satu kepakaran dan bakat yang dapat ditunjukkan oleh jurufoto dasar laut.

“Semoga usaha ini dapat menarik lebih ramai penyelam skuba untuk mencuba seni fotografi dasar laut. 

 “Beta juga dengan sukacitanya ingin mengumumkan Sultan Mizan Underwater Photography Awards akan diadakan lagi pada tahun depan,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya