'Ini satu tanda sokongan kepada kerajaan GPS kemas kini pembangunan Bintulu' - Utusan Malaysia

‘Ini satu tanda sokongan kepada kerajaan GPS kemas kini pembangunan Bintulu’

ABANG Johari Tun Openg bercakap dalam sidang akhbar selepas pengumaman kemenangan GPS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak, di Dewan Suarah Bintulu malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BINTULU: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan kemenangan parti itu dalam mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak bukti sokongan dan kepercayaan penduduk di kawasan sekitar.

“Ini satu tanda orang Bintulu memberi sokongan kepada kerajaan GPS untuk mengemas kini pembangunan yang ada di Bintulu ini termasuk pelabuhan Bintulu yang harus diserahkan kepada Sarawak.

“Majoriti kita telah tambah, kita juga memperolehi 9,638 undian dan kita tengok juga undi diperoleh parti lawan. Terbukti ini adalah satu mesej yang jelas bahawa demokrasi ini bukan hanya untuk lawan-lawan tetapi kena tengok realiti apa yang berlaku.

“Justeru ini adalah satu pengajaran untuk kita semua, tetapi GPS akan terus berusaha membangunkan negeri Sarawak sebagai negeri maju dan makmur menjelang 2030,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman kemenangan GPS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak, di Dewan Suarah Bintulu malam ini.

Ditanya majoriti yang diperoleh GPS perkara yang dijangka, Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, PRK tidak boleh disamakan seperti Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Selalunya dari sudut PRK kita menjangkakan turn out tidak akan serupa seperti PRN atau PRU. Yang pertama orang banyak kerja di luar, keduanya banyak lagi pengundi muda masih di universiti-universiti, dan selalunya PRK seperti ini akan peroleh kurang 40 peratus, tapi kita (GPS) hampir 50 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar.

“Maka, saya merasakan ini satu sokongan dan kepercayaan yang kuat untuk kita GPS membangunkan Bintulu secara teratur dan struktur lebih-lebih lagi kawasan perindustrian seperti Samalaju, Kidurong dan Jepak Jaya yang akan menjadi model bandar perindustrian yang lengkap fasiliti-fasiliti yang boleh membawa pelabur datang ke Bintulu,” jelas Abang Johari.

GPS dalam PRK DUN Jepak kekal mempertahan kerusi itu selepas calon partinya, Iskandar Turkee menang dengan jumlah keseluruhan 9,638 undi.

Ia diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK DUN Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey pada pukul 8.28 malam di Dewan Suarah Bintulu di sini.

Calon GPS, Iskandar Turkee memenangi kerusi tersebut dengan jumlah 9,638 undian menewaskan Stevenson Joseph Sumbang dari PBK (854 undi) dan  Chieng Lea Phing dari ASPIRASI (431 undi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN