RAUB: Ahli Lembaga Pelawat (ALP) di 28 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara kini diberi ruang dan peranan lebih luas sebagai rakan strategik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi menjayakan matlamat sifar dadah negara menerusi sesi pelantikan 2026 hingga 2029.
Presiden Majlis Lembaga Pelawat Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (MALPAM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, pelantikan ALP bagi sesi baharu itu dibuat berdasarkan pelbagai kriteria termasuk pengalaman, kepakaran, integriti serta keupayaan menyumbang secara langsung kepada usaha pencegahan, pemulihan dan pembanterasan dadah secara menyeluruh.
Menurutnya, pendekatan baharu itu selaras dengan arahan Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, yang mahu peranan ALP diperkasakan dan tidak lagi terhad kepada fungsi pemulihan semata-mata.
“ALP perlu dilibatkan secara aktif dalam semua aktiviti berkaitan dadah termasuk pencegahan, pendidikan, kesedaran awam, advokasi masyarakat dan program intervensi komuniti.
“Semua aktiviti berkaitan dadah mesti melibatkan ALP bagi memastikan pelaksanaan program dapat dijalankan secara bersepadu dan berkesan sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdullah berkata, bagi memudahkan pelaksanaan tugas di lapangan, semua ALP PUSPEN di seluruh negara akan dibekalkan kad pengenalan rasmi sebagai pengesahan peranan dan autoriti mereka.
Katanya, langkah itu penting bagi memudahkan pergerakan ALP ketika melaksanakan program pencegahan, pemulihan, pendidikan serta aktiviti berkaitan komuniti tanpa kekangan pentadbiran.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan semua ALP sedia ada termasuk calon baharu diwajibkan mengemukakan borang pencalonan baharu selaras dengan tatacara pelantikan terkini yang ditetapkan AADK.
“Sehubungan itu, pihak kami berharap semua ALP lama telah mengemukakan permohonan baharu dalam tempoh ditetapkan sebelum dipertimbangkan untuk dilantik semula bagi sesi 2026 hingga 2029,” katanya. – UTUSAN










