Ibu dakwa anak dicabul guru

Ibu dakwa anak dicabul guru

SEORANG ibu mendakwa anaknya mengalami trauma akibat dikatakan dicabul guru dan dinasihatkan doktor untuk tidak hadir ke sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang ibu kepada pelajar sebuah sekolah menengah di sini mendakwa, anaknya dicabul guru lelaki sekolah tersebut dalam kejadian sekitar pertengahan bulan lalu.

Memberitahu Utusan Malaysia, dia yang mahu dikenali sebagai Amira mendakwa, guru berusia 50-an itu meraba tangan, belakang dan leher anaknya dalam sebuah bilik aktiviti sekolah berkenaan.

Katanya, ketika itu, guru berkenaan meminta pelajar itu bersama enam lagi rakannya membantu tugas beliau dalam bilik tersebut dan turut menjadi mangsa cabul.

“Pada mulanya, anak tidak mengesyaki apa-apa apabila guru itu menyentuh tangan dan merapatkan badannya. Tetapi kemudian dia menyentuh pula bahagian belakang menggunakan sikunya dan menyentuh leher dengan tangannya.

“Perbuatan guru itu semakin melampau apabila berdiri rapat dengan badan anak saya menyebabkan dia tidak selesa dan mula rasa takut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Amira berkata, menurut rakan-rakan anaknya, kegiatan cabul ini juga sudah berlaku sejak Ogos sehingga Oktober lalu dan pelajar-pelajar terlibat hanya berani membuat laporan pada awal bulan ini kerana takut diugut guru terbabit.

Dia mendakwa, anaknya memberitahu rakan-rakannya sering diganggu cikgu tersebut sebelum ini, namun, hanya berdiam diri kerana takut dikenakan tindakan.

Susulan kejadian ini, katanya, anaknya ketika ini mengalami trauma akibat kejadian itu dan dinasihatkan doktor untuk tidak hadir ke sekolah buat masa ini.

“Anak saya membuat aduan kepada pihak sekolah dan laporan polis dibuat oleh anak saya sendiri pada Jumaat lepas demi keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, A. Asmadi Abdul Aziz mengesahkan pihakya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3 November lalu yang dibuat pelajar tersebut.

Katanya, siasatan kes berkenaan masih dijalankan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan.

“Siasatan masih dijalankan dan suspek telah diberi jamin. Kami merujuk kes ini kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (OCCI) untuk arahan dan arahan supaya (suspek dibebeas dan diberi jamin) adalah arahan beliau,” katanya.

INFOGRAFIK

KES BERKAITAN CABUL SEKOLAH

* 13 Mac 2023: Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, Kelantan atas pertuduhan mencabul seorang murid perempuan tahun dua di dalam kelas di sebuah sekolah di Jelawat, Bachok, tahun lalu.

* 16 Mac 2023: Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan hukuman penjara 14 tahun terhadap seorang bekas guru sekolah rendah kerana kesalahan mencabul dan meliwat seorang remaja lelaki ketika berusia 11 tahun di dalam bilik sebuah sekolah dan di pusat latihan guru di kawasan daerah Hilir Perak, pada tahun 2012 dan 2013.

* 14 Sept 2023: Seorang guru disyaki mengumpan anak murid lelakinya dengan membawa bermalam di hotel sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh kepada kanak-kanak berusia 12 tahun.

* 4 Nov 2023: Seorang pengajar seni mempertahankan diri taekwondo dicekup selepas dikatakan mencabul empat kanak-kanak perempuan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN