Ibrahim Shah nafi terlibat suntikan modal RM260 juta

Ibrahim Shah nafi terlibat suntikan modal RM260 juta

IBRAHIM SHAH ABU SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah menafikan beliau ditamatkan perkhidmatan pada 10 Februari lalu akibat kerugian dialami UiTM Holdings Sdn Bhd. (UiTM Holdings).

Malah, beliau juga menafikan terlibat dengan dakwaan suntikan modal RM259.98 juta kepada anak syarikat universiti itu yang dikatakan tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau yang pernah menjadi Naib Canselor hampir 10 tahun sejak 2001 itu menjelaskan tidak pernah membenarkan suntikan modal diteruskan kepada syarikat berkenaan selepas menilai risiko-risiko perniagaan dan pelaburannya.

Katanya, kerugian tersebut dikesan sejak beliau dilantik menjadi Pengerusi LPU UiTM pada Januari 2021 sebelum mengarahkan penyusunan semula struktur dan pengurusan syarikat tersebut sehingga mengalami kerugian.

“Saya tidak pernah mengarahkan suntikan modal diberikan kepada UiTM Holdings, malah tak ada satu sen pun saya berikan kepada UiTM Holdings. Memang permohonan suntikan dana ada dibuat tetapi saya tak benarkan kerana risiko perniagaannya terlalu tinggi.

“Sebelum ini UiTM Hol­dings berdepan kerugian se­perti penerbitan filem yang menyebabkan kerugian hampir RM20 juta, denda daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan RM14.7 juta berkaitan projek solar di Gambang serta projek-projek lain,” katanya.

Jelas Ibrahim Shah, selain menyusun semula syarikat tersebut, beliau merangka pelan perniagaan bagi memulihkan kembali UiTM Holdings agar kembali kepada matlamat asal penubuhannya sejak 2007.

Terdahulu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 Pengurusan Syarikat Persekutuan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dedahkan UiTM didakwa menyuntik modal RM259.98 juta tanpa kebenaran Kementerian Kewangan.

Malah, laporan itu turut dedahkan kerugian terkumpul syarikat tersebut sebanyak RM111.28 juta dan diletakkan kedudukan kewangan kumpulannya sebagai tidak stabil.

Dalam pada itu, Ibrahim Shah menggesa UiTM Holdings menjelaskan dakwaan dalam LKAN 2022 kerana yakin beliau tidak terlibat dengan suntikan modal tersebut dan mengatakan ia berlaku sebelum dilantik menjadi Pengerusi LPU.

“Itu yang saya tidak tahu siapa punya kerja. Tetapi saya yakin dakwaan oleh LKAN 2022 itu adalah cerita lama kerana apabila audit dibuat terhadapnya akan menyebabkan penjejakan dibuat sehingga ke tahun-tahun terdahulu.

“Pernah ada pegawai maklumkan kepada saya sampai hendak bayar gaji pun tiada duit, saya dedahkan lagi sebelum tinggalkan universiti itu sebagai Naib Canselor pada 31 Disember 2009, saya tinggalkan rizab untuk UiTM sebanyak RM2 bilion.

“Dengan keadaan yang berlaku dekat UiTM Holdings sehingga LKAN 2022 pun mendedahkan kepincangannya, memang patutlah syarikat itu disifatkan sebagai mini 1MDB,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN