Hasil penjimatan subsidi dipulangkan kepada rakyat 

Hasil penjimatan subsidi dipulangkan kepada rakyat 

Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan menyasarkan semula subsidi secara berfasa dengan syarat hasil penjimatan subsidi akan dipulangkan semula kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, pengurangan subsidi itu perlu dilakukan bagi menanggung beban hutang negara yang tinggi.

“Ini agak kontroversi, tapi kalau ikut jumlah subsidi tahun ini, tanpa langkah-langkah termasuk pengapungan ayam, ia akan mencecah RM81 bilion, ini merupakan jumlah subsidi tertinggi yang diperkenalkan oleh mana-mana negara di Asia.

“Bagi negara dengan prinsip tatakelola dan pengurusan bertanggungjawab, ini tidak mampu diteruskan kerana tanggungan hutang dan beban hutang yang tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2024 dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara hari ini.

Justeru, katanya, penjimatan subsidi akan dipulangkan menerusi peningkatan peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Setiap keupayaan kita menjimatkan belanja atau mengurangkan subsidi, penjimatan itu sebahagiannya akan dipulangkan kepada rakyat melalui STR, maka, kita tingkatkan sumbangan dari RM8 bilion pada 2023 kepada RM10 bilion bagi 2024,” katanya.

“Umpamanya, harga ayam yang diapungkan bermula 1 November lalu dan alhamdulillah, tinjauan harga rata-rata masih berada di bawah siling RM9.40 sen untuk satu kilogram,” katanya.

Selain itu, beliau juga menumpukan kepada usaha menyasarkan semula subsidi elektrik mengikut tahap penggunaan.

“Ini juga menjadi isu kontroversi pada peringkat awal tapi ia dikenakan hanya pada peringkat tertinggi (T20) iaitu satu peratus dan 99 peratus lagi tidak dikenakan atau dikurangkan subsidi dan kadar bayaran tetap sama.

“Tapi, penjimatan tingkat tertinggi yang saya sebut untuk maha kaya, walaupun tidak disenangi sesetengah orang tapi maksud saya subsidi itu diberikan kepada golongan paling kaya. Ia tidak munasabah, subsidi ini macam sedekah, patut diberi kepada orang memerlukan,” katanya.

Katanya, apabila kerajaan melakukan penyasaran semula subsidi elektrik,  ia menghasilkan penjimatan sebanyak RM4.6 bilion.

“Jadi, bila kita tarik subsidi mereka, tidak ada caj tambahan, cukai tambahan, atau levi tambahan. Yang dilakukan menarik balik subsidi kepada kategori ini kepada 3.5 juta warga asing jadi kita jimat RM4.6 bilion. Begitu juga ayam untuk setahun kita boleh jimat lebih RM1.2 bilion.

“Subsidi diesel juga akan disasarkan semula secara berfasa, harga diesel subsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×