Harimau belang ditemukan mati dipercayai dilanggar treler - Utusan Malaysia

Harimau belang ditemukan mati dipercayai dilanggar treler

HARIMAU belang yang ditemukan mati berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung di Lebuh Raya Utara-Selatan di Gopeng semalam, dipercayai dilanggar treler. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seekor harimau belang jantan yang sebelum ini dilaporkan berkeliaran di sekitar Sahom, Kampar ditemui mati dipercayai dilanggar treler di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung di sini, tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 12.30 tengah malam di mana pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah ke lokasi kejadian untuk siasatan.

Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat seekor harimau belang dianggarkan berusia lapan hingga 10 tahun mati disyaki dilanggar treler.

“Karkas (bangkai) harimau itu telah dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut.

“Kita percaya harimau belang itu adalah haiwan sama yang dilaporkan sebelum ini menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan maklumat oleh Perhilitan, punca utama haiwan liar itu merayau hingga ke pinggir hutan dan memasuki kawasan kampung kerana mencari sumber makanan ekoran babi hutan di kawasan itu berkurangan disebabkan wabak demam babi Afrika (ASF).

“Perhilitan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia melalui pemasangan perangkap kamera mendapati populasi babi hutan masih berkurangan.

“Oleh itu, potensi untuk harimau itu masuk semula ke dalam hutan tebal rendah, mungkin diet baharu iaitu lembu dan ternakan lain lebih mudah diserang berbanding babi hutan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berasa sedih dan kesal dengan kematian seekor lagi harimau belang yang kini berdepan ancaman kepupusan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi memberitahu, tiada laporan polis diterima berkaitan kemalangan treler berkait kematian haiwan pemangsa itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya