KUALA LUMPUR: Seramai 39.67 peratus pekerja domestik asing berkhidmat di Malaysia dilindungi skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pekerja domestik adalah mereka yang diambil bekerja di suatu rumah kediaman persendirian yang bukan diambil bekerja bagi sebarang aktiviti perdagangan mahupun perniagaan atau profesion yang dijalankan oleh majikan.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, jumlah itu masih rendah berbanding keseluruhan pekerja domestik asing yang berkhidmat di Malaysia iaitu kira-kira 95,000 orang.
“Kita menguatkuasakan semua pekerja termasuk pekerja domestik untuk mendaftar dan mencarum di bawah Perkeso berkuatkuasa 1 Jun 2022,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Makan Tengah Hari Perkeso di Hotel Continental di sini hari ini.
Bermula 1 Januari 2019 lalu, kerajaan menerusi Perkeso mewajibkan setiap pekerja asing untuk mencarum Skim Bencana Kerja menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Katanya, caruman ini akan melindungi semua pekerja domestik dan pekerja asing, tidak mengira sektor walaupun sebagai pemandu.
“Perkara itu penting bagi melindungi semua warga pekerja terdedah dengan risiko bencana pekerjaan dan tidak diberikan keadilan sosial sewajarnya,” katanya
Sivakumar berkata, liputan jaringan keselamatan sosial ini selari dengan Konvensyen 19, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkenaan layanan saksama (pampasan kemalangan) 1925 yang diratifikasi Malaysia.
“Perlindungan sosial ini kemudian diperluas supaya turut meliputi pekerja domestik asing sekali gus mencerminkan kecaknaan kerajaan terhadap kebajikan mereka,” katanya.
Setakat ini, seramai 1.78 juta pekerja asing aktif dilindungi menerusi Skim Bencana Kerja Pekerja Aing Perkeso setakat 1 Oktober lalu. -UTUSAN