250 media seluruh dunia protes pembunuhan wartawan di Gaza - Utusan Malaysia

250 media seluruh dunia protes pembunuhan wartawan di Gaza

PENDUDUK Palestin menunaikan solat jenazah bagi wartawan dan petugas perubatan yang terkorban akibat bedilan udara tentera Israel di Gaza City. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Lebih 250 media dari lebih 70 negara mengadakan protes serentak semalam bagi membantah pembunuhan berterusan wartawan dalam perang Israel-Hamas di Gaza, kata kumpulan kebebasan media, Reporters Without Borders (RSF).

“Kadar wartawan yang terbunuh di Gaza akibat serangan tentera Israel begitu tinggi sehingga tidak lama lagi tiada siapa yang mampu melaporkan berita dari sana,” kata Pengarah Besar RSF, Thibaut Bruttin dalam satu kenyataan.

Tindakan simbolik itu disertai pelbagai media antarabangsa termasuk penyiar Qatar, Al Jazeera; portal berita Britain, The Independent; akhbar Perancis, La Croix dan L’Humanité; serta akhbar Jerman, TAZ dan Frankfurter Rundschau, menurut RSF.

Sehingga kini, kira-kira 220 wartawan terbunuh sepanjang kempen ketenteraan Israel di Gaza yang dilancarkan sebagai tindak balas kepada serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, menurut data RSF.

Protes itu diadakan seminggu selepas lima wartawan sebahagiannya bekerja dengan Al Jazeera, Associated Press dan Reuters terbunuh dalam serangan udara Israel di Hospital Nasser, Khan Younis.

Pada Ogos lalu, enam wartawan turut terkorban dalam serangan udara berhampiran Hospital Al-Shifa di Gaza City di mana Israel mendakwa serangan tersebut menyasarkan kamera milik Hamas, namun serangan itu mengundang kecaman antarabangsa.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, turut menyuarakan rasa tidak senang terhadap tindakan tersebut.

Media yang menyertai protes itu menuntut supaya Israel menghentikan kekebalan daripada pertanggungjawaban terhadap jenayah terhadap wartawan, mempercepatkan proses pemindahan kecemasan wartawan yang mahu keluar dari Gaza, serta membenarkan akses bebas media antarabangsa ke wilayah bergolak itu.

RSF memaklumkan, pihaknya telah mengemukakan empat aduan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung jenayah perang yang didakwa dilakukan tentera Israel terhadap wartawan di Gaza sejak 22 bulan lalu.

Sejak perang tercetus, media antarabangsa dinafikan akses bebas ke Gaza, kecuali beberapa agensi terpilih yang dibenarkan membuat liputan bersama pasukan tentera Israel di bawah kawalan ketat penapisan tentera.

Kempen ketenteraan Israel di Gaza sehingga kini telah meragut sekurang-kurangnya 63,459 nyawa, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×