Gaji jurulatih Program Podium tidak ikut garis garis panduan - Audit

Gaji jurulatih Program Podium tidak ikut garis garis panduan – Audit

WAN SURAYA WAN MOHD. RADZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima daripada 36 jurulatih Program Podium Sukan Elit (Program Podium) dikesan menerima kenaikan gaji tanpa mengguna pakai kriteria dalam garis panduan.

Perkara itu antara isu dibangkitkan berhubung Program Podium dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan (Jilid 2).

Menurut laporan itu, semakan audit mendapati lima jurulatih itu menerima kenaikan gaji antara 10 peratus hingga 44 peratus dengan kadar kenaikan antara RM450 hingga RM2,456 bagi tempoh tahun 2020 hingga 2022.

Kata laporan itu, semakan audit juga mendapati peratus kenaikan gaji jurulatih ditetapkan melalui perbincangan antara Bahagian Atlet/Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) sebelum syor peratus kenaikan gaji yang dipersetujui dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) untuk kelulusan dasar.

“Bagaimanapun, pihak audit mendapati kriteria berhubung kadar kenaikan gaji tidak dapat ditentukan kerana kriteria dalam garis panduan sedia ada tidak diguna pakai.

“Selain itu, keputusan perbincangan awal juga tidak didokumenkan.

“Kelulusan kadar peratus kenaikan yang berbeza tanpa kriteria yang jelas boleh menyumbang kepada rasa tidak puas hati dalam kalangan jurulatih tempatan,” kata laporan itu.

Justeru, LKAN mengesyorkan semakan semula Garis Panduan Kenaikan Gaji Jurulatih dilakukan dan menyediakan kriteria yang jelas berhubung penentuan kadar kenaikan gaji jurulatih agar lebih teratur.

Dalam pada itu, semakan Audit juga mendapati, baucar bayaran bagi tempoh tahun 2019 hingga 2021 mendapati perbelanjaan MSN untuk Program Podium turut merangkumi perbelanjaan atlet yang bukan berada di bawah Program Podium berjumlah RM1.47 juta.

“Perbelanjaan ini tiada dalam skop yang diluluskan dan sehingga tarikh pengauditan, tiada permohonan dikemukakan oleh MSN kepada Kementerian Ekonomi (UPE) untuk mendapatkan kelulusan terhadap perbelanjaan yang tiada dalam skop,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya