Fadhlina sebak: Jangan berlakon atas nama Palestin

Fadhlina sebak: Jangan berlakon atas nama Palestin

AHMAD Fadhli Shaari bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam sidang media di Parlimen. -GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pembangkang nampaknya tidak termakan dengan pujukan dan rayuan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkenaan Minggu Solidariti Palestin sekalipun beliau sebak di Dewan Rakyat petang tadi.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sebaliknya menasihati Fadhlina supaya tidak ‘berlakon’ atas isu Palestin, malah beliau tidak perlu menampilkan emosi sedemikian di hadapan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Pemimpin Pas itu tidak berpuas hati dengan Fadhlina kerana hanya menyentuh program itu di tiga minit terakhir ucapan yang membuatkan Ahmad Fadhli dan pemimpin lain tidak sempat mencelah kerana kesuntukan masa.

“Jangan berlakon atas isu Palestin, tidak perlu tampil dengan emosi yang tidak perlu dalam Dewan.

“Saya lihat menteri tidak serius membangkitkan isu ini. Beliau boleh sahaja bangkit di tengah atau awal ucapan tentang isu ini sebab kontroversi,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, beliau hanya mahu penjelasan ketika Fadhlina menyebut tentang doa qunut nazilah dan takbir jika ada sesetengah sekolah yang tidak mengamalkannya.

Selain itu, beliau juga berniat bertanya tentang 12 ahli partinya daripada PKR yang menggesa supaya program itu dikaji semula.

“Ini yang lebih serius, bukan isu siapa yang ‘paling Palestin’,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyesal kerana ‘tersalah tepuk’ yang pada andaiannya mahu menyokong Fadhlina atas emosi sebak yang ditunjukkan berhubung isu Palestin.

“Apabila beliau sebut Palestin, dia menangis, kami pun tepuk mejalah. Kami ingatkan dia pertahankan apa yang telah disebut pada awalnya menyokong Palestin.

“Tapi, yang akhir jawapan beliau itu yang mencela jawapannya sendiri. Cakap jangan tanya soal takbir dan qunut nazilah. Kalau beliau tidak sebut itu jawapannya sudah cukup baik. Saya rasa tersilap tepuklah sebab beliau sentuh hal yang sensitif,” katanya.

Petang tadi, Fadhlina gagal menyembunyikan emosinya sehingga menitiskan air mata, sejurus menyentuh isu Minggu Solidariti Palestin yang mencetus kontroversi di seluruh negara ketika ini.

Beliau kelihatan sebak ketika meneruskan penggulungannya yang mempertahan kewajaran kerajaan melaksana program itu sebagai mendidik murid sekolah tentang erti kemanusiaan dan kedamaian.

KPM sebelum ini dilaporkan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober lalu hingga 3 November bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan, dalam kalangan pelajar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya