SUNGAI PETANI: Tanda tanya kehilangan seorang bekas pengurus sebuah kilang kenderaan sejak empat hari lalu terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia di pejabatnya di Bandar Laguna Merbok, di sini semalam.
Mayat Faizuri Md. Akhir, 51, ditemukan oleh dua anak lelakinya dalam keadaan tertiarap serta kulitnya sudah mengelupas sebaik mereka memecah pintu pejabat itu pada pukul 7.22 malam.
Menurut anak keduanya, Abd. Afham Asyraf, 28, bapanya keluar dari rumah di Taman Desa Aman, Guar Cempedak ke pejabatnya pada sebelah pagi, Khamis lalu.
“Sehingga keesokan harinya, bapa tidak pulang dan saya serta ibu Ramnah Sabhi, 52, beranggapan bapa pergi ziarah nenek di Pokok Asam, Taiping, kerana selalunya setiap hujung minggu dia akan berbuat demikian.
“Namun yang menghairankan tidak pula bapa hantar mesej memaklumkan keberadaannya selain telefonnya tidak dapat dihubungi hingga menyebabkan kami sekeluarga mula risau,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.
Kata Abd. Afham, dia mula tergerak hati untuk menelefon neneknya pagi semalam tetapi terkejut apabila dimaklumkan bapanya tiada di situ.
“Kami cuba tanya kepada semua saudara mara dan kenalan bapa tetapi semua tidak tahu di mana dia berada sebelum petang semalam saya dan adik, Amirul Solihin, 19, bergegas ke pejabatnya dan mendapati kereta Hyundai Matrix miliknya berada di tempat parkir,” katanya.
Menurutnya, sejak berhenti kerja sebagai pengurus kilang di Kulim sejak setahun lalu, bapanya membuka syarikat sendiri untuk mengajar operator kilang yang terlibat dalam bidang automotif.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai mati lebih 24 jam lalu.
“Temubual dengan anaknya mendapati mangsa mempunyai sejarah rawatan sakit jantung. Mayat dihantar ke HSAH untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. –UTUSAN










