PETALING JAYA: “Kami belum pernah kena tipu, Alhamdulillah. Soal kontrak kena bertegas. Tak boleh bagi muka.”
Demikian jawapan kumpulan XPDC ketika ditanya tentang pengalaman ditipu penganjur yang dikongsikan rakan-rakan seperjuangannya selama ini.
Jelas pemain basnya, Zuar berkata, mereka meletakkan syarat mendapat wang deposit sebanyak 50 peratus sebelum mengesahkan persetujuan untuk tampil dalam mana-mana persembahan.
“Formula itu diguna pakai sejak dulu lagi. Mana-mana persembahan atau promosi, kami minta dulu deposit sekurang-kurangnya separuh daripada yang dipersetujui.
“Sebelum bersetuju, penganjur kena bayar 50 peratus dahulu, begitulah saya jaga XPDC dari dulu. Sebenarnya paling penting perjanjian awal itu kena telus.
“Bukanlah kami memilih, tapi sebagai band ‘otai’ kami sudah masak dengan permainan industri seni. Ada deposit, ada persembahan,” katanya.
Zuar dan anggota XPDC lain berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Search Voyage of Asia, semalam.
XPDC bakal memanaskan pentas konsert Search di Educity Sports Complex, Johor Bahru, bersempena Hari Rock Negara Edisi Selatan pada 24 dan 25 November ini.
Sementara itu, Zuar menambah, mereka menerima undangan itu atas dasar simpati selepas penganjurnya, C&M Music Centre dipercayai ditipu orang tengah.
“Sebenarnya penganjur sudah pelawa XPDC sejak awal tahun lagi. Tetapi tiada perkembangan sehinggalah baru-baru ini mereka dimaklumkan ditipu orang tengah.
“Atas dasar mahu membantu, kami sanggup turun padang mempromosikan acara ini biarpun hanya sebagai kumpulan undangan dengan band utama nanti adalah Search.
“Tidak mengapalah, dalam situasi tertentu kita masih boleh bertolak-ansur. Lagipun, penganjur berpegang kepada janji,” ujarnya.
Untuk info, XPDC turut dibarisi Ary selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram).