BESUT: Dua ekor anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sebelum ini terlibat dalam operasi menyelamat dan mencari (SAR) dalam dua tragedi besar negara sebelum ini, kembali beraksi mencari mangsa runtuhan bangunan restoran di Pulau Perhentian, dekat sini, hari ini.
Penyelia Unit Anjing Pengesan (K9) Hambali Wahab berkata, dua ekor anjing yang kenali Lady dan Grouse sebelum ini pernah terlibat dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lalu dan kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman pada Julai tahun ini.
Katanya anjing K9 tersebut ditugaskan menyertai SAR tersebut berikutan kepakaran mengesan dan mencari mangsa hidup dan mayat.
“Pada operasi SAR tersebut, kedua-dua anjing itu menunjukkan prestasi yang baik apabila berjaya mengesan kedudukan mangsa.
“Sewaktu operasi berjalan Lady telah memberi isyarat dengan menyalak di lokasi yang dikatakan mangsa berada dan susulan itu, anggota penyelamat bertindak membuat pencarian di kawasan berkenaan,” katanya.
Tambahnya, hasil bantuan unit K9 telah berjaya menemukan mayat mangsa terakhir yang tertimbus dalam kejadian runtuhan bangunan restoran Suparno, 48, dan berjaya di bawa keluar kira-kira pukul 3.15 petang.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi, semalam, sebuah bangunan restoran setinggi tiga tingkat di sebuah resort di pulau peranginan yang dalam pembinaan tiba-tiba runtuh.
Runtuhan itu menimbus tujuh buruh binaan iaitu enam warga asing dan seorang tempatan yang ketika itu sedang tidur di tapak pembinaan yang hampir siap itu.
Bagaimanapun empat mangsa tersebut berjaya diselamatkan orang ramai manakala dua lagi dikeluarkan pasukan SAR pada pukul 12.50 tengah hari semalam. – UTUSAN