Dua Ahli Parlimen Bersatu tidak pernah runding mahu sokong saya - Anwar

Dua Ahli Parlimen Bersatu tidak pernah runding mahu sokong saya – Anwar

ANWAR Ibrahim semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat. GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menafikan dua Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah berunding dengannya bagi menyokong Kerajaan Perpaduan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman juga tidak pernah berunding dengan mana-mana jemaah menteri berhubung keputusan mereka itu.

“Kenyataan (menyokong) dari (Ahli Parlimen) Kuala Kangsar dan Labuan itu tidak dirunding dengan saya atau mana-mana menteri.

“Kalau mahu penjelasan, tanya kepada Kuala Kangsar dan Labuan. Tentu saya mengalu-alukan (sokongan) kerana kematangan dan kebijaksanaan mereka,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mencelah penggulungan Anwar mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen kerana beliau sudah bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk berbincang.

Syed Saddiq membangkitkan persoalan jika ada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas berhubung perkara itu.

“Adakah rundingan mencukupi? Atau seperti apa yang dibincang sejak seminggu dua yang lepas iaitu perlu ada kenyataan media dikeluarkan (sebagai) contoh oleh dua Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Perkara ini penting supaya Ahli Parlimen tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk mendapat peruntukan,” katanya.

Suhaili baru-baru ini mengumumkan sokongan kepada Anwar dan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan elektrik di sana.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan terus taat, setia dan kekal sebagai Ahli Parlimen Bersatu.

Suhaili merupakan wakil rakyat kedua daripada Bersatu yang menyokong kepimpinan Anwar selepas Iskandar Dzulkarnain memulakan langkah melawan arus prinsip parti, 12 Oktober lalu.

Tegasnya, beliau sama sekali tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu biarpun keputusan itu bakal menyebabkannya berdepan risiko dikenakan tindakan disiplin oleh parti.

Untuk rekod, Anwar tidak membuat sebarang kenyataan umum meletakkan syarat ahli Parlimen pembangkang yang pada masa ini tidak mendapat peruntukan Persekutuan untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi mereka bagi menyokong dasar kerajaan bagi mendapat peruntukan itu.

Sebaliknya, Anwar dan ahli Parlimen kerajaan yang lain telah berkali-kali memberitahu ahli Parlimen pembangkang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk mendapatkan peruntukan yang sama dan memberi jaminan bahawa kerajaan terbuka kepada perbincangan sedemikian.

13 Oktober lalu, Perikatan Nasional (PN) mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendakwa tindakan menakut-nakutkan pemimpin itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Hamzah mendakwa, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dibawa untuk bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

Bagaimanapun, SPRM telah menafikan bahawa badan berkuasa itu terlibat dalam pengisytiharan sokongan Iskandar Dzulkarnain, manakala dakwaan pihaknya telah mengugut ahli Parlimen itu bertujuan mencemarkan nama baik SPRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya