LUMUT: “Pray for us, brother” (Doakan untuk kami, saudara).
Itu adalah pesanan terakhir anggota pasukan bola sepak orang kudung Palestin sebelum terputus hubungan dengan Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia, beberapa minggu lalu.
Pengarah Program Projek Tongkat Stand With Palestine, Dr. Ahmad Munawwar Helmi Salim memberitahu, pesanan itu diterima mereka beberapa hari selepas Gaza diserang rejim Zionis.
“Sehingga kini, kami tidak tahu sama ada mereka masih ada atau sudah syahid,” katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Projek Tongkat Stand With Palestine di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL-MIMET) dekat sini semalam.
Program Jelajah Projek Tongkat Stand With Palestine melibatkan perlawanan amal antara pasukan bola sepak orang kudung di negara ini bermula di Johor kemudian Perak sebelum berakhir di Putrajaya.
Hadir sama, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus UniKL-MIMET, Dr. Asmawi Abdul Malik.
Menurut Dr. Ahmad Munawwar Helmi, pasukan Assalam FC dari Palestin itu dijadualkan berkunjung ke negara ini pada 30 Oktober lalu sebelum dipinda ke 15 November.
Jelasnya, senarai nama pemain yang akan hadir juga sudah ada manakala tiket kapal terbang juga sedang dalam proses penempahan.
“Malangnya, mereka dinafikan hak bermain, dinafikan hak datang ke sini, bukan sahaja mereka tidak dapat keluar dari Gaza, mungkin mereka juga sudah tiada,” ujarnya.
Beliau memberitahu, jika ramai pemain orang kudung di negara ini disebabkan kemalangan jalan raya, di Gaza ramai yang kudung kerana ditembak atau terkena bom rejim Zionis.
Sementara itu, beliau berkata, program jelajah itu diadakan sebagai solidariti kepada rakyat Palestin khususnya anggota pasukan Assalam FC.
“Ini bagi menunjukkan bahawa walaupun mereka tidak berada di negara ini, semangat mereka turut dibawa dalam program tersebut,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai datang beramai-ramai sebagai tanda sokongan pada hari terakhir program itu iaitu perlawanan yang diadakan di Padang Presint 8, Putrajaya, pada pukul 8 malam Sabtu ini. – UTUSAN










