TURIN: Pemain tenis No. 1 Dunia, Novak Djokovic membuktikan dia masih unggul sebagai pemain terbaik dunia apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Akhir ATP menewaskan jaguh tuan rumah, Jannik Sinner dalam final di Pala Alpitour, Itali hari ini.
Djokovic melakar kemenangan 6-3, 6-3 dalam tempoh satu jam 43 minit untuk memastikan kejuaraan Akhir ATP yang ketujuh dalam kariernya, sekali gus mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang legenda tenis Switzerland, Roger Federer dengan enam gelaran.
Bagi Djokovic, kemenangan ini amat manis memandangkan beberapa hari lalu, Sinner telah mencalarkan rekod tanpa kalahnya ketika kedua-dua mereka berentap di peringkat kumpulan.
“Ini adalah sesuatu yang amat istimewa. Saya boleh katakan ini adalah musim yang terbaik dalam hidup saya, dan ini tidak dapat disangkal lagi.
“Untuk memenanginya ke atas wira tuan rumah, Sinner, yang telah menampilkan aksi bertenaga sepanjang minggu ini adalah sesuatu yang menakjubkan.
“Saya amat berbangga dengan prestasi saya untuk dua hari ini, menentang Alcaraz dan Sinner, yang saya sifatkan sebagai dua orang pemain terbaik dunia selepas saya dan (Daniil) Medvedev.
“Gaya permainan mereka membuatkan saya perlu meningkatkan lagi diri saya untuk memenangi perlawanan tanpa mengharapkan mereka memberikan kemenangan mudah, dan itu yang saya berjaya tampilkan. Saya rasa saya telah menampilkan taktikal berbeza untuk hari ini (semalam) berbanding bertemu Sinner ketika peringkat kumpulan,” jelas Djokovic.
Ini juga merupakan trofi ketujuh Djokovic untuk musim ini selepas Adelaide, Terbuka Australia, Roland Garros, Cincinnati, Terbuka Amerika Syarikat serta Terbuka Perancis. – AGENSI/UTUSAN