KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat memberitahu salah seorang ahli Dewan Rakyat telah ‘tumbang’ dan dimasukkan ke hospital semalam.
Tan Sri Johari Abdul bagaimanapun tidak menjelaskan maklumat terperinci berhubung individu berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya kesemua ahli Parlimen yang masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan seperti diarahkan sebelum ini untuk segera berbuat demikian.
Katanya, seramai 196 ahli Parlimen dan lima ahli Senator telah menjalani pemeriksaan kesihatan setakat ini.
“Kepada mereka yang masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan, saya beri lanjutan hingga Selasa minggu depan, 14 November untuk buat pemeriksaan.
“Saya amat mohon kerana difahamkan salah seorang daripada kita telah tumbang dan masuk hospital,” katanya sebelum mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Pada 9 Oktober lalu, Johari memberitahu, hanya 54 daripada semua 222 ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan meskipun arahan mengenainya telah dikeluarkan sebulan yang lalu.
Pada 13 September lalu ketika mesyuarat khas perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Johari mengarahkan kesemua 222 Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan.
Katanya, beliau secara peribadi telah melihat seramai 11 Ahli Parlimen ‘tumbang’ sepanjang tempoh tersebut sepanjang 15 tahun bergelar Ahli Parlimen. – UTUSAN