DEWAN RAKYAT: Speaker Dewan Rakyat arah dua ahli Parlimen keluar dewan, minum kopi - Utusan Malaysia

DEWAN RAKYAT: Speaker Dewan Rakyat arah dua ahli Parlimen keluar dewan, minum kopi

MOHD. SANY HAMZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua ahli Parlimen masing-masing daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menanggung malu, selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat mengarahkan mereka keluar malah digantung selama sehari daripada berbahas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul merehatkan Mohd. Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) dan Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) selepas berlaku kekecohan berhubung isu guru diugut kerana menyokong pembangkang.

“Saya minta dua-dua keluar pergi minum kopi, hari ini sahaja esok masuk semula,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ini susulan dakwaan pelajar sekolah agama tidak dibenar melaungkan takbir dan membaca Qunut Nazilah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selain guru diugut kerana menyokong parti pembangkang pada pilihan raya.

Mohd. Misbahul dalam perbahasannya mendakwa bahawa guru diugut berikutan menyokong parti pembangkang pada pilihan raya.

Hujahnya, guru sepatutnya diberi hak menyokong pembangkang dan berpolitik selagi mereka tidak cuai dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Mohd. Sany kemudiannya bangkit mencelah dengan menyatakan bahawa guru tidak boleh berpolitik di sekolah, namun, tiada halangan berbuat demikian jika berada di luar tugas.

Mohd. Misbahul kemudian mempertikai tindakan Mohd. Sany yang tidak tahu peraturan Dewan Rakyat kerana bangkit mencelah perbahasannya tanpa kebenaran.

Beliau menyambung perbahasan dengan mengharapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya tidak menghalang pelajar di sekolah agama daripada melaungkan takbir dan doa Qunut Nazilah kerana ia diajar dalam sunnah Rasulullah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil kemudian mencelah dengan menyatakan dakwaan itu tidak benar dan ia disambut beberapa ahli Parlimen PH yang membidas Mohd Misbahul kerana memfitnah dan mengelirukan dewan dengan kenyataannya itu.

Kedua-dua mereka hanya dibenarkan menyertai semula perbahasan Dewan Rakyat esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN