KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Kementerian Kesihatan menggugurkan elemen generasi penamat rokok (GEG) daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Katanya, ia menunjukkan kerajaan seolah-olah mengaku kalah dengan tekanan daripada industri tembakau.
“Saya menjangkakan bahawa RUU berkenaan GEG dibentangkan dalam sesi persidangan ini tapi nampaknya tidak begitu.
“Saya berpendapat kita macam mengalah kepada industri tembakau, kita nampak mengalah,” katanya ketika sesi perbahasan RUU tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, menteri sendiri menyatakan bahawa ramai yang mati atau sakit dan kerajaan perlu berbelanja berbilion untuk merawat akibat merokok.
“Kita sebagai ahli politik dan ahli Parlimen, kita kena selamatkan generasi akan datang, kalaupun ada pihak-pihak yang tak bersetuju, kita bawa dalam Parlimen, bukan semua dalam Parlimen ini akan menyokong GEG ini, ada yang menentang.
“Tetapi dengan sukarela kita gugur. Harapan di luar sana, ramai yang menyokong supaya anak-anak lahir selepas 2007 tidak boleh dibenarkan menghisap rokok untuk jaga kesihatan tapi sekarang ia berjalan seperti biasa,” katanya.
Beliau juga tidak bersetuju dengan alasan GEG digugurkan kerana pandangan Peguam Negara yang menyifatkan RUU itu bercanggah dengan Perlembagan.
“Saya tidak menafikan Peguam Negara adalah penasihat kepada kerajaan tetapi yang buat undang-undang bukan Peguam Negara. Yang buat undang-undang ahli Parlimen kita ini lawmakers. Bukan semua peguam, kita ada ustaz, pegawai bank, akauntan, inilah wakil rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk bahas perkara ini,” katanya.
Tambahnya, pihak yang boleh mentafsirkan undang-undang bukan Peguam Negara semata-mata tetapi juga melibatkan hakim-hakim di mahkamah.
“Kalau kita buat salah, kita buat undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan, pihak lain boleh bawa ke mahkamah menyatakan undang-undang ini ultra virus, bercanggah dengan perlembagaan, maka mahkamah yang tentukan.
“Bukannya Peguam Negara jadi gatekeeper, kalau macam itu tak payah ada Parlimen, biar Peguam Negara dan Kabinet yang buat undang-undang. Begitu hasrat negara demokrasi bagi peluang kepada 222 ahli Parlimen dan bincang, boleh jadi RUU kalah atau ditolak, tak apalah ini demokrasi.
“Tapi belum bincang apa-apa kita dah tarik diri, kita kalah dengan pelobi-lobi daripada industri tembakau, saya sangat sedih Yang Berhormat menteri,” katanya. -UTUSAN










