DEWAN RAKYAT: Mustahil capai 100 peratus SSR, tapi makanan negara terus terjamin - Mat Sabu - Utusan Malaysia

DEWAN RAKYAT: Mustahil capai 100 peratus SSR, tapi makanan negara terus terjamin – Mat Sabu

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan mampu mencapai 100 peratus kadar sara diri (SSR) bagi memenuhi keperluan domestik melalui pengeluaran tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia bukan sahaja tidak mampu dicapai oleh Malaysia tetapi juga mana-mana negara lain.

“Nak mencapai SSR 100 peratus ini tak mungkin, impossible. Mana nak tanam gandum, kacang soya, jagung. Macam mana nak dapatkannya dengan harga murah dan sesuai. Setakat ini ada ditanam di Perlis tetapi didapati bila dah dapat hasil, ia lebih mahal daripada diimport.

“Kalau nak capai 100 peratus, mana-mana negara pun tak berupaya di atas muka bumi ini, tetapi SSR bukanlah indikator tunggal yang menentukan tahap keterjaminan makanan negara,” katanya ketika pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebaliknya, katanya, pengukuran terhadap keterjaminan makanan negara menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah berdasarkan kepada ketersediaan, akses, penggunaan serta kestabilan dan kemampuan.

“Misalnya, di ASEAN negara paling keterjaminan makanan ada pada Singapura kerana dia boleh dapatkan segala bentuk makanan dia ada pelaburan dan sebagainya, oleh itu jangan kita terkeliru antara SSR dengan keterjaminan makanan.

“Yang penting makanan itu ada, usaha untuk keluarkan makanan secara tempatan perlu ditumpukan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) mengenai kesediaan dan kesungguhan pihak kementerian dalam mengubah dasar pertanian dan penternakan negara bagi memastikan 100 peratus SSR untuk barang-barang asas seperti beras, daging, ayam, ikan dan telur ayam serta usaha, polisi, penyelidikan, insentif dan geran terarah kepada capaian tersebut.

Mohamad Sabu juga memberi contoh bagaimana bekalan ayam dan telur semakin stabil namun usaha menangani isu bekalan beras perlu dibuat dalam jangka panjang.

“Ia telah diusahakan kerajaan-kerajaan terdahulu, bukan tak usahakan tapi waktu itu harga import agak murah maka tumpuan untuk mencukupkan beras tidak menjadi keutamaan tapi sekarang berlaku kejutan eksport beras daripada India agak tergendala.

“Maka kita kena berusaha untuk mencukupkan beras, ini sedang diusahakan, alhamdulillah kerjasama dengan kerajaan negeri cukup memberangsangkan terutama dari Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Namun, beliau akui, pengeluaran sawah padi sedia ada perlu dipertingkatkan hasilnya.

“Banyak kajian dari Mardi, Sirim dan universiti-universiti, semua tumpu sekarang ke arah meningkatkan hasil, tak boleh 20 tahun masih lagi empat hingga lima tan, sekarang kita kena usaha ke arah sekurang-kurangnya tujuh tan untuk satu hektar, ke arah capai cukup beras itupun kalau diusaha secara insentif.

“Tahun 2030, kita akan cuba capai 80 peratus, jadi SSR untuk 100 peratus tak boleh tapi kita boleh usaha semaksimum mungkin, kerajaan negeri termasuk bukan dari kerajaan perpaduan turut beri kerjasama.

“Malah, bukan setakat kementerian, kita ada Risda, FGV, pihak swasta juga perlu terlibat untuk tambah pendapatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya