DEWAN RAKYAT: Ahli Parlimen Kepala Batas berhati kering walau diasak DAP isu Chin Peng  - Utusan Malaysia

DEWAN RAKYAT: Ahli Parlimen Kepala Batas berhati kering walau diasak DAP isu Chin Peng 

SITI MASTURA MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu dakwaan Ahli Parlimen Kepala Batas bahawa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng, kini merebak dan panas dalam Dewan Rakyat.

Hal itu selepas beberapa ahli parti DAP, mengambil peluang menuntut penjelasan daripada Dr. Siti Mastura Muhammad, semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat hari ini.

Hanya beberapa minit pertama Siti Mastura berhujah, seorang demi seorang ahli Parlimen DAP bermula Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, cuba mencelah dengan niat bertanya tentang dakwaan hubungan kekeluargaan antara Guan Eng dan Chin Peng.

Bagaimanapun Siti Mastura tidak mengendahkan celahan itu dan meneruskan hujahan seperti biasa sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mematikan pembesar suaranya seketika dan bertanya jika beliau mahu memberi orang lain mencelah.

Siti Mastura pula menggeleng kepala tanda beliau menolak sebarang celahan sehingga mencetus kekecohan.

Ahli-ahli Parlimen DAP iaitu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi bangkit serentak menggesa Siti Mastura memberi penerangan.

Teresa: Kami nak tanya pasal fitnah terhadap DAP dan saya.

Shu Qi: Ahli Parlimen Seputeh ada di sini, lebih baik Kepala Batas jelaskan. Tidak beranikah? Berani buat tuduhan di luar tak berani jawab di dalam dewankah? Dari sumber mana buat fitnah itu?

Syahredzan: Dekat luar jangan fitnah, baca poster, fitnah ulang balik dalam dewan. Ulang balik dekat di sinilah biar kita terus bawa usul.

Bagaimanapun, Siti Mastura benar-benar berhati kering kerana enggan menjawab walaupun satu soalan daripada kesemua mereka, malah, memberi pantun di akhir ucapannya berbunyi: 

Pergi kedai beli lidi,

Kelulusan PhD bukan dibeli,

Kera lompat atas pokok,

Masuk Dewan jangan provok.

Johari pula cuba meleraikan perbalahan itu dengan nada sinis mengarahkan ahli Parlimen yang mahu bercakap supaya terus bangun.

“Saya beri peluang sila siapa nak cakap lagi. Sekarang bangun, bangun. Cakap. Sebab orang ramai sedang tengok, ayuh. Lagi siapa nak cakap?” Soalnya.

Terdahulu dalam sidang akhar hari ini, Guan Eng memberi masa dua hari untuk Siti Mastura mengemukakan bukti jika benar beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng.

Beliau sebelum itu menunjukan klip video ucapan yang dimuat naik di media sosial itu menyaksikan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu juga mengaitkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng dengan pemimpin DAP lain.

Pemimpin DAP yang disebut itu ialah Teresa; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Bagaimanapun ketika ditemui pemberita, Siti Mastura nampaknya tidak gentar dengan pemimpin DAP yang mahu mengambil tindakan undang-undang selepas mendakwa Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN