DEWAN NEGARA: Malaysia raih RM347 bilion pelaburan sejak

DEWAN NEGARA: Malaysia raih RM347 bilion pelaburan sejak Anwar jadi PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM347 bilion pelaburan berjaya diraih kerajaan dalam tempoh setahun sejak ditadbir di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pelaburan itu hasil daripada lawatan kerja luar negara serta usaha agensi-agensi kerajaan sepanjang tahun ini.

“Komitmen pelaburan agak tinggi dan amat memberangsangkan, sama ada hasil lawatan dan hasil usaha agensi-agensi kerajaan termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

“Komitmen ini mencecah RM347 bilion pelaburan dari China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2024 dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Katanya, ia disokong dengan statistik bagi separuh pertama 2023 apabila kerajaan meluluskan pelaburan bernilai RM132.6 bilion iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini.

“Yang utama, jaminan berkembangnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga dengan pertumbuhan 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus suku kedua tahun sebelumnya. Ekonomi kita juga berkembang 3.9 peratus pada sembilan bulan pertama 2023 selari dengan unjuran KDNK sekitar empat peratus.

“Walaupun baru setahun kita laksanakan dasar serta laksanakan pendekatan yang jelas dan tegas, ada langkah Belanjawan Madani kedua yang dilaksanakan umpamanya subsidi ayam yang telah diapungkan dan alhamdulillah, kadar mengekal seperti yang diunjurkan sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, beliau juga lega dengan empat peratus kadar inflasi yang dicatatkan semasa mengambil alih kerajaan kini menurun kepada 1.8 peratus.

“Kadar pengangguran juga berjaya diturunkan kepada 3.4 peratus iaitu hampir menyamai kadar sebelum Covid-19 iaitu 3.3 peratus,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya