Cegah NCD dari kanak-kanak

Cegah NCD dari kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyakit tidak berjangkit (NCD) perlu dicegah bermula dari kanak-kanak lagi supaya negara tidak terus membelanjakan amaun yang tinggi untuk merawat jumlah pesakit terutamanya penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi yang semakin membimbangkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam (PPPKAM), Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, penyakit NCD kebanyakannya berkaitan dengan tingkah laku.

Justeru, katanya, tingkah laku itu sangat berkesan jika disemaikan daripada peringkat kanak-kanak lagi.

“Langkah pencegahan ada tiga tahap. Tahap pertama (mencegah) supaya tidak dapat penyakit. Tahap kedua pula kalau seseorang itu sakit, maka perlu cepat-cepat dirawat dan tahap ketiga jika dirawat, maka kurangkan komplikasi.

“Tetapi, ada satu lagi iaitu pencegahan primordial yang merupakan langkah pencegahan lebih awal daripada tahap pertama (primary), dengan menyasarkan kanak-kanak dan orang muda,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kerajaan membelanjakan RM9.65 bilion atau 16.8 peratus daripada peruntukan untuk Kementerian Kesihatan bagi menangani penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, anggaran itu berdasarkan perbelanjaan pada 2017 bagi merawat ketiga- tiga penyakit NCD itu.

Katanya, ia merangkumi kos kemasukan ke hospital, penjagaan di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan, ujian kesihatan dan pembiayaan perubatan

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, sebanyak 50 peratus daripada penduduk Malaysia menghidap sekurang-kurangnya satu NCD iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.

Justeru, Jamalludin berkata, sasaran untuk mencegah penyakit NCD sepatutnya adalah di kalangan kanak-kanak.

Katanya, perhatian perlu diberi lebih kepada sebatang usaha untuk mengurangkan risiko.

“Antara lain adalah dengan buat kesedaran atau mendidik kanak-kanak bahawa makanan bermanis atau bergula itu tidak bagus.

“Jadi, perlu banyak usaha ke arah itu apabila mereka pergi ke tadika dan sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN