'Boleh bawa kami ke Malaysia? Kerana Malaysia tiada bom'

‘Boleh bawa kami ke Malaysia? Kerana Malaysia tiada bom’

KEPULAN asap tebal memenuhi ruang udara akibat serangan udara tentera Israel berdekatan sempadan Semenanjung Gaza, semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Mommy Nour (Nurul), boleh tak bawa kami ke Malaysia? Kerana di Malaysia tiada bom”.

Itu permintaan meruntun hati seorang daripada anak saudara kepada rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, Alaa Fadi Laham yang berusia empat tahun di kala malam di Semenanjung Gaza ‘dihujani’ bedilan roket rejim zionis, awal pagi kelmarin.

Berkongsi situasi menakutkan tersebut, Nurul Ain menyifatkan malam kelmarin antara hari paling mengerikan dengan bedilan bom tanpa henti oleh rejim zionis di Khan Younis.

Menurutnya, beliau, suami dan ahli keluarga lain tidak dapat melelapkan mata kerana ketakutan akibat bedilan bom tidak henti-henti di kawasan sekitar kediaman mentuanya.

“Saya sendiri tak boleh tidur, entah pukul berapa barulah tertidur.

“Sebelum itu, anak buah masuk ke bilik sambil meminta untuk membawa mereka ikut pulang ke Malaysia sebab Malaysia aman tiada bom. Mengucap panjang saya mendengar permintaan Alaa itu.

“Tiada apa yang dapat kami lakukan, hanyalah berdoa supaya Allah SWT melindungi kami dan anak kecil ini daripada sebarang musibah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Alaa adalah anak kepada kakak ipar Nurul Air iaitu Wala Adnan Shaat.

Nurul Air yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, berkahwin dengan rakyat Palestin, Mohamed Adan Shaat, 33, dan menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada 1 Oktober lalu beliau dan suaminya pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza selepas enam tahun melangsungkan pernikahan untuk bertemu keluarga mentuanya.

Bagaimanapun, pada 7 Oktober perang Palestin – Israel meletus sehingga mengakibatkan Nurul Ain dan suami terkandas di Khan Younis, Gaza sehingga hari ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×