Bekalan air dari Perak ke Pulau Pinang mungkin ambil masa 6 hingga 10 tahun - Utusan Malaysia

Bekalan air dari Perak ke Pulau Pinang mungkin ambil masa 6 hingga 10 tahun

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika melihat robot pembancuh kopi ketika menghadiri majlis perasmian Majlis Jawatankuasa 2023-2026 Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Penduduk negeri ini mungkin dapat menerima bekalan air terawat dari Perak dalam tempoh enam hingga ke 10 tahun lagi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek itu boleh dijalankan secara berfasa memandangkan di bahagian Utara Perak turut mempunyai keperluan bagi memperoleh bekalan air bagi tujuan pertanian.

“Projek ini dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga 10 tahun tetapi boleh dilaksanakan secara berfasa.

”Ini kerana Perak di bahagian utara ada keperluan (air) untuk kegunaan pertanian, dan tambahan pula pengumuman bahawa Utara Perak dipilih menjadi hub industri yang baharu,” katanya selepas majlis perasmian Jawatankuasa Jawatankuasa 2023 – 2026 Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) di sini hari ini.

Kerajaan Perak dilaporkan bersetuju menjual air terawat kepada Pulau Pinang selepas perbincangan antara kedua-dua Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan mencapai kata sepakat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebuah jawatankuasa bersama ditubuhkan kedua-dua kerajaan negeri untuk mengkaji segala kos sebelum proses memohon peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi pembinaan loji rawatan air di daerah Kerian, utara Perak.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, selain Pulau Pinang, projek bekalan air itu juga adalah satu keperluan bagi Perak kerana selagi tidak dilaksanakan, maka projek lain di Utara Perak juga tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

”Banyak lagi butiran yang akan dibincangkan walaupun sebelum ini memang ada kajian teknikal dilakukan.

“Ia sehingga kita ada anggaran kos projek, jajaran-jajaran paip dan sebagainya yang boleh menjadi rujukan kepada rundingan antara dua buah negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, dalam soal tarif air mungkin kosnya akan tinggi memandangkan Pulau Pinang mendapat bekalan air terawat dan bukan air mentah, namun tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Sekarang kita tidak perlu kos untuk bina loji, biayai untuk merawat (air) dan sebagainya sebab kita sebagai pengguna.

“Semestinya tarif akan tinggi sebab ia bukan air mentah tetapi kita tidak perlu belanja lain untuk merawat air, apa-apa tarif yang ditentukan masih tertakluk kepada SPAN,” katanya.

Selain itu, katanya, antara isu lain yang akan dibincangkan ialah tempoh perjanjian bekalan air antara Perak dan Pulau Pinang akan berlangsung dan sama ada tarif akan dapat dikaji semula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya