Bawa kes pembangunan melampau ke mahkamah

Bawa kes pembangunan melampau ke mahkamah

PENDUDUK Bukit Jelutong yang hadir pada perhimpunan aman bagi membantah projek padang golf di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. – UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Alam Sekitar menyarankan agar penduduk Bukit Jelutong bersedia menyediakan pakar guaman bagi membantu menyelesaikan isu pembangunan di padang golf berdekatan kawasan mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Damian Tha­nam Divean berkata, sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) jelas seperti menyokong pihak pemaju, maka penduduk mempunyai kuasa mencabar keputusan itu.

Katanya, penduduk mempunyai kuasa dengan tidak mensia-siakan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai, dengan membawa kes tersebut yang menggugat ketenteraman komuniti mereka ke mahkamah.

“Apabila PBT berada di pi­hak pemaju, berkemungkinan besar bantahan yang dilakukan oleh penduduk tidak dilayan dan mungkin mereka tidak akan diberikan peluang untuk membuat kaji selidik mengenai perkara itu.

“Jika tidak ada maklum ba­las kepada bantahan penduduk awam berkenaan dengan projek ini, maka penduduk boleh merujuk kepada mahkamah utk tindakan lanjut berdasarkan undang-undang yang ada,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, seramai kira-kira 1,000 penduduk Bukit Jelutong berhimpun bagi menunjukkan bantahan projek pembangunan 425 unit rumah atas padang golf berkeluasan 28 hektar tidak diteruskan.

Bantahan berkenaan bagi menyuarakan agar pihak berkuasa melin­dungi mempertahankan pe­ninggalan kawasan hijau ter­akhir bagi kawasan komuniti mereka untuk kemampanan alam sekitar yang akan diubah kepada hutan konkrit.

Sementara itu, Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sepatutnya berpandukan garis rancangan pembangunan, iaitu setiap kawasan residensi perlu ada kawasan hijau demi kese­imbangan kelestarian dalam pembangunan.

Katanya, mana-mana kawasan residen sepatutnya da­lam rancangan pembangunan perlu ada kawasan hijau.

Justeru, beliau menasihatkan penduduk Bukit Jelutong terus menekan PBT untuk tidak memberikan permit kebenaran kepada pihak pemaju.

Tambahnya, dalam masa yang sama, penduduk perlu menulis dan memorandum kepada menteri besar supaya menteri besar turut campur dalam hal ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN