Banjir: Pengusaha pasir tak mahu pisang berbuah dua kali

Banjir: Pengusaha pasir tak mahu pisang berbuah dua kali

MUHAMMAD Ammirull Asraf Abdul Wahab mengambil langkah berjaga-jaga memindahkan peralatan memproses pasir miliknya agar kerugian dialami ketika banjir dua tahun lalu tidak berulang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Enggan pisang berbuah dua kali, seorang pengusaha pasir sungai di Sungai Lembing di sini melakukan persiapan awal memindahkan segala jentera dan peralatan memproses pasir sungai di tempat lebih selamat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusahanya, Muhammad Ammirull Asraf Abdul Wahab, 29, berkata, dia tidak mahu kejadian banjir yang mengakibatkannya mengalami kerugian sekitar RM300,000 dua tahun lalu berulang.

“Saya belajar dari pengalaman lalu dan sejak itu, sebaik sahaja tiba musim tengkujuh, saya memindahkan ke semua peralatan seperti jentolak, jengkaut, bot fiber, mesin pengorek pasir dan lain-lain di tempat yang selamat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bercerita tentang kejadian banjir pada 2021, Muhammad Ammirull Asraf berkata, dia tidak menyangka pada ketika itu air naik tinggi sehingga menenggelamkan peralatan perniagaannya.

“Saya sudah 10 tahun melibatkan diri dalam bidang ini dan ketika banjir 2021 itu, saya memang tidak sangka air naik tinggi dan menenggelamkan seluruh kawasan perusahaan ini. Dua pekerja saya terpaksa memanjat kabin untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu air sungai naik sehingga 10 kaki dari aras tebing sungai dan sekitar 18 kaki dari aras dasar sungai. Habis tenggelam semua,” katanya.

Menurutnya, belajar dari pengalaman itu, dia tidak hanya memindahkan peralatan dan jenteranya di tempat selamat, malah turut mengehadkan pengeluaran pasir sungai buat pelanggannya.

“Kalau bukan musim hujan, setiap hari sekitar 2,000 tan metrik pasir dikeluarkan. Namun ketika musim hujan ini saya hanya menghadkan kepada sekitar 1,000 tan metrik sahaja sehari.

“Itu pun kami masih berjaga-jaga dan sudah mula memahami keadaan yang mana jika keadaan hujan yang tidak berhenti dalam tempoh sehari, hari kedua kami pindahkan segala peralatan di tempat selamat,” katanya yang mengusahakan perniagaan terbabit di atas tanah milik persendirian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN