KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak supaya menyokong industri kenderaan elektrik (EV) yang menjanjikan pelbagai insentif menarik dan manfaat yang baik.
Perdana Menteri berkata, dengan industri automotif menyumbang kira-kira satu perlima daripada pelepasan gas karbon, EV memegang kunci dalam menangani perubahan iklim.
“Memandangkan kita terus bergantung pada barang import dan berdepan ketidakstabilan harga minyak, ia adalah wajar untuk menggalakkan peralihan kepada EV.
“Peralihan ini bukan hanya membawa kepada penjimatan bahan api dan gas dengan lebih ketara di Malaysia kerana tanggungan subsidi yang besar, tetapi juga mengurangkan pelepasan gas karbon,” katanya ketika merasmikan kenderaan Weststar Maxus Mifa 9 di ibu negara hari ini.
Justeru katanya, mempunyai EV di Malaysia datang dengan pelbagai insentif dan manfaat dalam tahun-tahun akan datang.
“Kita melanjutkan pengecualian duti import untuk pemasangan tempatan bagi komponen EV sehingga Disember 2027.

“Kita juga akan memberikan pengecualian cukai jualan sepenuhnya kepada kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan dilanjutkan sepenuhnya pengecualian bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU) sehingga Disember 2025,” katanya.
Tambahnya, kerajaan turut menawarkan potongan cukai sehingga RM300,000 untuk syarikat yang memajak EV bukan komersial dan mengecualikan cukai jalan untuk EV sehingga 31 Disember 2025.
“Kita komited untuk menubuhkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh Malaysia menjelang 2025.
“Ketika ini, kita hanya mempunyai 1,246 stesen pengecas awam yang beroperasi yang menandakan fasa awal infrastruktur pengecasan yang akan memudahkan penggunaan EV secara meluas,” katanya.
Disebabkan itu katanya, Belanjawan 2024 menggariskan dedikasi kerajaan bagi mempromosikan Malaysia yang lebih hijau dan mampan, selaras dengan pelan hala tuju peralihan tenaga.
“Matlamat utama kita adalah untuk mempercepat penerimaan meluas EV dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam pelbagai sektor.
“Kerajaan berdedikasi sepenuhnya untuk memudahkan pertumbuhan industri EV dan penggunaan teknologi hijau yang lebih luas, selaras dengan matlamat kita dalam Belanjawan 2024.
“Marilah kita bersatu antara kerajaan, penggiat industri dan orang ramai bekerjasama untuk membentuk negara yang lebih bersih dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN