PETALING JAYA: Berdasarkan penilaian atas kertas Harimau Malaya mempunyai kelebihan besar ke atas Taiwan dalam pertembungan dalam aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 malam ini.
Ketika ini, Malaysia berada di ranking ke-137 dunia, iaitu satu kedudukan yang lebih baik berbanding Taiwan yang berkedudukan ke-152 dunia.
Namun, semua itu hanyalah kedudukan biasa dan tidak menceritakan situasi sebenar atas di atas padang.
Tiga rekod pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan juga tidak memihak kepada anak buah Kim Pan Gon, yang mana dua daripadanya memihak kepada The Blue Wings yang dikendalikan oleh Gary White.
Kekalahan itu termasuk ketika Harimau Malaya tumbang 0-2 pada 2018 yang ketika itu, White kembali menjadi jurulatih Taiwan selepas dia berkelana ke Hong Kong dengan dua gol itu dijaringkan oleh Wu Chun Ching dan Chu En Le.
Kemenangan itu terhasil oleh corak taktikal White yang memilih untuk lebih banyak bertahan tetapi pada masa sama, menggunakan corak serangan pantas bagi mendapatkan gol, sekali gus memerangkap skuad negara pada ketika itu.
Selain taktikal jurulatih England itu, Malaysia juga perlu berwaspada dengan kelibat pemain naturalisasi mereka, Samuel Kouame kerana penyerang berdarah Ivory Coast itu sudah mencipta dua gol sejak membuat penampilan bersama The Blue Wings pada September lalu.
“Sejarah adalah sejarah tetapi kami kini memiliki pasukan baharu, jurulatih baharu dan perlawanan yang baharu. Kami menghormati pasukan Taiwan dan sejarah lalu, tetapi ini adalah masanya untuk kami cipta sejarah baharu.
“Kami mempunyai impian untuk layak ke pusingan ketiga, jadi kami perlu berjuang untuk mendapatkan tiga mata dan mencerahkan peluang Malaysia untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” kata Pan Gon.
Dalam pada itu, beliau juga melihat para pemainnya lebih selesa bermain dalam keadaan cuaca yang sedikit sejuk berbanding di tanah air dan menjanjikan perlawanan yang menarik untuk para penyokong selain berhasrat untuk catat kemenangan bersih. – UTUSAN