PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya mengambil pendekatan fokus memburu gol dan mengelak gawang bolos menentang Taiwan dalam usaha mencari tiga lagi mata kemenangan dalam perlawanan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 esok.
Misi utama skuad kendalian Kim Pan Gon adalah mengutip tiga lagi mata untuk meneruskan permulaan sempurna dengan sasaran untuk mara ke pusingan 18 terbaik di Asia.
Pemain pertahanan Harimau Malaya, Corbin Ong berkata, skuad tersebut perlu mengekalkan persembahan terbaik sama seperti menentang Kyrgyzstan bagi mendapatkan tiga mata penuh sekali lagi untuk mengekalkan momentum tanpa tekanan di tempat lawan.
Sementara itu, pengendali Taiwan, Gary White mengharapkan sokongan padu penonton di Stadium Municipal esok dapat membantu pasukannya untuk menumpaskan Harimau Malaya.
Jurulatih dari England itu juga memasang impian besar untuk mengekalkan rekod tanpa kalah bersama skuad yang terkenal dengan julukan Sang Sayap Biru di gelanggang sendiri.
“Ini rumah kami, kami memerlukan penyokong dan rakan untuk hadir dan menang bersama kami,” kata White di laman Facebook Persatuan Bolasepak Taiwan semalam.
Malaysia dan Taiwan akan bertembung dalam perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 esok dengan kedua-dua pasukan memasang impian mengutip tiga mata penuh.
Untuk rekod, Taiwan tidak tewas dalam tiga aksi di gelanggang sendiri sejak White dilantik sebagai pengendali skuad kebangsaan negara itu buat kali kedua Mei lalu.
Untuk rekod, White pernah menggalas tugas sama pada 2017 sebelum dia beralih arah untuk mengemudi skuad kebangsaan Hong Kong pada 2018.
Taiwan yang menghuni ranking ke-152 dunia terdesak untuk meraih kemenangan ke atas Malaysia selepas tewas 0-3 kepada Oman dalam aksi pertama Kumpulan D, Khamis lalu.
Kekalahan kepada Oman di gelanggang lawan menyaksikan skuad itu berada di kedudukan tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata.
Harimau Malaya dilihat akan tampil dengan motivasi lebih baik susulan kejayaan menewaskan pasukan di ranking 97 dunia, Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – UTUSAN