‘Api merebak dalam beberapa minit dengan cepat’

‘Api merebak dalam beberapa minit dengan cepat’

KEADAAN peralatan gimnasium yang musnah terbakar dalam kejadian di pusat perniagaan di Uptown, Kota Damansara, Petaling Jaya, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemilik pusat gimnasium terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian kira-kira RM250,000 selepas peralatan miliknya musnah dalam kebakaran premis perniagaan di Uptown Kota Damansara, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.15 malam semalam, sebanyak 20 gerai dan premis kedai terbakar dipercayai berpunca daripada sebuah gerai di lokasi kejadian.

Mazalan Abdul Manan, 53, berkata, ketika kejadian, terdapat 15 pelanggan yang berada di pusat gimnasium itu sebelum dia menyedari api besar dari arah belakang premis miliknya.

Jelas beliau, keadaan ketika itu panik dan kesemua peniaga cuba menyelamatkan barangan masing-masing.

“Kami cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api namun kebakaran telah merebak dengan cepat, dalam beberapa minit.

“Saya dan beberapa pelanggan terus menyelamatkan peralatan senaman untuk dibawa keluar dari gimnasium,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Walaupun reda dengan kerugian ditanggungnya, namun Mazalan bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dalam kejadian terbabit.

“Ketika kejadian, gerai-gerai di belakang ini baru dibuka dan tiada lagi pengunjung di sini. Jika berlaku pada hari minggu, sini sesak, mungkin akan babitkan mangsa.

“Ini merupakan kebakaran pertama berlaku sejak saya di sini (menjalankan pusat gimnasium) dari tahun 2017,” katanya.

Semalam, media melaporkan berlaku kebakaran melibatkan beberapa gerai di Uptown, Kota Damansara di sini kira-kira pukul 8.20 malam.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan pada 8.34 malam dan seramai 24 anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan kawasan bangunan gerai-gerai Uptown Kota Damansara berkeluasan 70 x 100 kaki persegi yang  90 peratus terbakar.

“Kejadian itu turut hampir memusnahkan sebuah pusat gimnasium berhampiran lokasi kejadian.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9.06 malam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN