APEC 2023: Antara Palestin dan Ukraine - Utusan Malaysia

APEC 2023: Antara Palestin dan Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mungkin ada yang mencemuh dan meremehkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap mengenai kesengsaraan penduduk Gaza ketika menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 di San Francisco beberapa hari lepas. Ini kerana pada pendapat kumpulan yang mencemuh ini, APEC adalah kerjasama ekonomi dan tidak sepatutnya isu geopolitik global dicampur aduk dengan hal ekonomi.
Tetapi hakikatnya, tiga kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia yang juga ahli APEC yang selalu bertelagah sering mengguna landasan APEC walaupun pertelingkahan tersebut berkait geopolitik. Contohnya, mesyuarat APEC 2020 di mana Kuala Lumpur sebagai tuan rumah menyaksikan bagaimana Presiden AS, Donald Trump mengkritik Beijing bukan sahaja yang berkait perang dagang AS-China tetapi juga menyentuh tingkah laku China di Asia Pasifik atau lebih tepat lagi di Laut China Selatan.
Malah kenyataan bersama pemimpin APEC 2022 di mana Bangkok menjadi tuan rumah mengandungi kritikan berbau geopolitik yang agak keras terhadap Rusia yang menceroboh Ukraine lapan bulan sebelum itu. Sebab itu, dihujahkan mesyuarat APEC tidak pernah sunyi daripada isu geopolitik terutama sekali dalam kalangan kuasa besar APEC. Malah pada ketika ini, isu berkait ekonomi yang mana menjadi asas penubuhan APEC tiga dekad lepas sudah tidak boleh dipisahkan dengan faktor geopolitik.
Jika di mesyuarat pemimpin APEC 2022, isu Ukraine mendapat perhatian majoriti pemimpin terutama sekali oleh AS yang diwakili oleh Naib Presiden, Kamala Harris dan berjaya dinyatakan dalam kenyataan akhir pemimpin, tetapi mesyuarat APEC 2023 suasana agak berbeza sedikit dalam hal Ukraine.
Walaupun tuan rumah iaitu Presiden Joe Biden cuba sedaya upaya memujuk pemimpin lain mengutuk Rusia yang diwakili Timbalan Perdana Menteri, Alexei Overchuk tetapi hakikatnya gagal mencapai kata sepakat dari kalangan 20 pemimpin negara APEC lain, tidak seperti yang tercetus ketika APEC 2022.
Sebab utama tiada kesepakatan dalam hal Ukraine adalah kerana pendirian berat sebelah yang dipamerkan Biden sebagai pengerusi dan tuan rumah walaupun begitu spesifik mengutuk Rusia dalam hal Ukraine tetapi bila tiba hal Gaza, Biden begitu kabur sekali menyatakan pendapatnya.
Antara lain, Biden dalam kenyataan akhir pengerusi menyatakan pemimpin APEC termasuk AS telah berkongsi pendapat mengenai Gaza dan ada pemimpin juga berkongsi pendapat mengenai resolusi mesyuarat bersama Liga Arab dan negara Islam (OIC) minggu lepas.
Memang benar kenyataan Biden sebagai pengerusi mesyuarat APEC dalam hal Ukraine gagal mendapat persetujuan semua untuk dimasukan dalam Deklarasi Golden Gate terutama sekali apabila dibantah Rusia dan China. Tetapi menyedihkan juga apabila kandungan kenyataan pengerusi Biden yang sengaja membuat kenyataan kabur dalam hal Gaza dan tidak mahu berterus terang mungkin bimbang ahli lain akan mengutuk Israel pula.
Walaupun Deklarasi Golden Gate gagal menyentuh isu Gaza dan kenyataan akhir pengerusi mesyuarat pula mengelak untuk berterus terang, tiga pemimpin dari Malaysia, Indonesia dan Brunei telah bersetuju untk mengeluar kenyataan bersama mengenai Gaza.
Ketiga-tiga pemimpin ini iaitu Anwar, Joko Widodo dan Sultan Hassanal Bolkiah turut menyentuh isu Gaza dalam ucapan masing-masing di mesyuarat APEC dan keputusan untuk mengeluarkan kenyataan berasingan adalah demi memperjuangkan hak penduduk Gaza dan Palestin. Antara kandungan kenyataan ketiga-tiga pemimpin ini adalah sepakat mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan dengan segera, berpanjangan dan berterusan, selain menggesa menghentikan konflik di Semenanjung Gaza.
Menarik juga apabila ketiga-tiga pemimpin ini menegaskan hal penyelesaian dua negara yang sentiasa menjadi pertembungan dalam kalangan negara yang menyokong Palestin. Ketiga-tiganya bersetuju, ini adalah kaedah terbaik menyelesai konflik berpanjangan Palestin-Israel tetapi penyelesaian mestilah bersandarkan sempadan sebelum Perang 1967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota negara Palestin yang berdaulat.
Apa yang tercetus di San Fransisco dianggap begitu menarik kerana sebagai pengerusi, AS gagal mencapai persetujuan secara konsensus dalam hal Ukraine tidak seperti mana yang tercetus dalam mesyuarat ketika Bangkok menjadi pengerusi mesyuarat pada 2022. Situasi sebegini memaksa Biden mengeluarkan kenyataan pengerusi dengan menyentuh isu Ukraine.
Tetapi yang menjadi lebih menarik adalah bagaimana tiga negara Islam ini mempamerkan kesatuan dengan mengeluarkan kenyataan yang berasingan secara spesifik hal Gaza yang seolah-olah menyangkal kenyataan pengerusi yang berdolak dalik dalam hal isu Gaza.
Keazaman yang dipamerkan Kuala Lumpur, Jakarta dan Bandar Seri Begawan berhadapan dengan kuasa besar seperti AS seharusnya menjadi contoh kepada negara Islam lain atau lebih spesifik negara ahli Liga Arab yang gagal mencapai kata sepakat dalam mesyuarat tergempar pertubuhan itu beberapa hari sebelum mesyuarat APEC.
Kegagalan 22 negara Arab ini untuk bersetuju dengan lima strategi penyelesaian kemelut di Gaza ini mempamerkan bagaimana berpecah belah negara Arab yang sepatutnya menjadi penjaga utama kepentingan Palestin.
Bukan mudah untuk Anwar Ibrahim, Joko Widodo dan Sultan Hassanal Bolkiah untuk bercakap hal kesengsaraan penduduk Gaza di mesyuarat APEC memandangkan 18 pemimpin lain langsung tidak mahu menyentuhnya. Seharusnya kita berbangga dengan ketiga-tiga pemimpin ini walaupun tiada tandingan berbanding kuasa AS dalam APEC, tetapi tetap mengetepikan kepentingan negara masing-masing demi penduduk Gaza.

PROF. DR. AZMI HASSAN ialah Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR)

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.