Raja Mohamed Affandi miliki strategi ‘perang’ perangkap Pas

ANALISIS: Raja Mohamed Affandi miliki strategi ‘perang’ perangkap Pas

RAJA MOHAMED AFFANDI RAJA MOHAMED NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemilihan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon Barisan Nasional (BN) memberi sinar baharu kepada parti itu untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Pengumuman tokoh tersebut sebagai calon BN oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam, disambut baik dan terima secara terbuka oleh Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman serta ahli dan penyokong parti itu.

Walaupun ditampilkan sebagai calon langsung, seluruh jentera pilihan raya BN diketuai Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berikrar akan bersama-sama berjuang di medan ‘perang’ untuk membantu kemenangan ‘panglima’ mereka dalam PRK itu, seterusnya merampas semula kerusi Parlimen Kemaman.

Bagaimanapun, beliau tetap menghadapi ujian gentir dalam pertempuran di PRK Parlimen itu, memandangkan musuh yang bakal dihadapi itu diakui amat kuat dan kental.

Kubu yang dikuasai Pas sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu memang sukar ditempuhi tentera BN, namun kebolehan Raja Mohamed Affandi mengatur strategi mampu memerangkap musuh itu.

Walaupun suasana perang dalam PRK ini tidak sama seperti dihadapi beliau ketika menjadi Panglima ATM, sebenarnya masih tertanam semangat juang yang tinggi di dada beliau memenangi setiap pertarungan termasuk dalam pilihan raya ini.

Sehubungan itu, dalam tempoh kempen selepas penamaan calon pada 18 November hingga 2 Disember depan, Raja Mohamed Affandi perlu turun berkempen habis-habisan tanpa mempedulikan serangan tohmahan musuh.

Ini kerana, walaupun Raja Mohamed Affandi dibesarkan di Kemaman, beliau tetap perlu berkempen secara agresif untuk memperkenal diri kepada pengundi di Parlimen itu memandangkan beliau telah lama berhijrah dari daerah tersebut.

Kebanyakan penduduk sebelum ini mengenali tokoh hebat itu sebagai Panglima ATM dari kejauhan dan pada kempen PRK nanti, beliau perlu tampil berjumpa dan memperkenal diri kepada seramai mungkin pengundi.

Di raut wajah beliau sememangnya nampak tegas, namun mereka yang mengenali beliau sebenarnya tahu tokoh itu adalah seorang yang mudah mesra dengan masyarakat tanpa mengira kedudukan.

Dalam ucapan pertamanya selepas diumumkan sebagai calon, beliau begitu ikhlas menerima tawaran sebagai calon BN apabila menyatakan hasratnya membalas kembali jasa UMNO setelah keberadaannya dalam kerjaya beliau atas jasa UMNO.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Raja Besut, Terengganu pada 20 Jun 1957 mendapat pendidikan di sekolah rendah dan menamatkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Chukai, Kemaman.

Raja Mohamed Affandi selepas itu mengikuti latihan sebagai pegawai kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan dan seterusnya di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungai Besi sebagai Pegawai Kadet.

Beliau ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 25 Mei 1977.

Kemudian dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral pada 2008 dan memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat, kemudiannya menjawat jawatan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai 31 Oktober 2009.

Selepas itu, dinaikkan pangkat Jeneral dan memegang jawatan Panglima Tentera Darat mulai 15 Jun 2013 dan kemudian diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-19 pada 16 Disember 2016.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya