PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan selama tiga hari mulai 25 hingga 27 November di tujuh buah negeri.
Kelantan dan Terengganu dijangka paling teruk terjejas apabila akan dilanda hujan berterusan selama tiga hari di tahap bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan manakala hujan berterusan tahap bahaya turut melanda Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu.
“Amaran hujan berterusan di tahap buruk pula akan melanda di Hulu Perak (Perak), Gua Musang (Kelantan) serta Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman (Terengganu),” katanya dalam kenyataan.
Tahap buruk merujuk kepada hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam.
Katanya, amaran hujan berterusan di tahap waspada pula akan melanda di lima negeri yang merujuk kepada hujan berterusan dijangka bermula satu hingga tiga hari akan datang atau hujan serta ribut petir yang sedang berlaku dijangka berterusan.
“Ia melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Perak (Kerian, Larut, Matang, Selama, Kuala Kangsar dan Manjung) dan termasuk Jerantut dan Kuantan (Pahang),” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi dan talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. -UTUSAN










