Amal gaya hidup sihat, elak penyakit NCD usia muda

Amal gaya hidup sihat, elak penyakit NCD usia muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amalan pemakanan tidak seimbang dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat kekal sebagai antara punca ramai individu bawah usia 18 tahun menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit diabetes dan darah tinggi di usia muda selain faktor genetik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perubatan kesihatan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, terdapat dua faktor yang memainkan peranan seseorang berumur 18 tahun ke bawah menghidap penyakit darah tinggi dan diabetes.

“Tahap pertama diabetes adalah diperoleh sejak lahir, iaitu pankreas seseorang itu gagal berfungsi untuk menghasil insulin dan tahap kedua pula adalah penyediaan makanan yang terlalu tinggi kalori,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, risiko penyakit NCD seperti penghidap hipertensi dan diabetes di negara ini dilaporkan meningkat selepas pandemik Covid-19 apabila situasi itu membimbangkan berikutan kedua-dua penyakit tersebut memerlukan rawatan secara berterusan.

Jelas Zainal, faktor penyediaan makanan yang terlalu tinggi kalori kepada individu yang berusia bawah 18 tahun boleh juga menyebabkan obesiti selain dari darah tinggi dan diabetes sama seperti kes orang dewasa.

Selain itu, katanya, faktor yang mempengaruhi seseorang itu menghidap penyakit itu pada awal usia adalah disebabkan pemakanan yang tidak berkualiti dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya, antara langkah awal pencegahan adalah mengamalkan gaya hidup sihat seperti pemilihan makanan harian berasaskan piramid makanan dan makanan yang rendah gula, garam dan lemak.

Tambahnya, bagi pesakit diabetes mereka boleh mengamalkan sarapan diabetes secara berjadual iaitu dengan mengambil sarapan pagi yang kurang gula bagi mengawal paras gula dalam darah.

Dalam pada itu, pakar kesihatan awam dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Tengku Amatullah Madeehah T. Mohd. berkata, peningkatan kes penyakit NCD di bawah umur terjadi sebelum pandemik berlaku lagi.

Namun, katanya, situasi pandemik meningkatkan lagi kes penyakit NCD berikutan tabiat duduk di rumah bermain permainan video atau penggunaan gajet menyebabkan peningkatan masa skrin selain gaya hidup dan pemakanan pada masa kini menyumbang kepada peningkatan penyakit metabolik.

“Pada masa kini, ramai kanak-kanak dan remaja bergantung kepada gajet dan teknologi. Kebanyakan ibu bapa sibuk dengan kerjaya masing-masing kemudian memberi gajet kepada anak-anak agar mereka “duduk diam”.

“Pada hari sekolah pula, kanak-kanak dan remaja kurang masa untuk bermain di luar bersama rakan-rakan dan lebih banyak menonton Youtube dan bermain permainan video di rumah menyebabkan kurangnya aktiviti fizikal membakar kalori,” katanya.

Selain itu, Madeehah berkata, dari segi pemakanan, tumpuan kepada kategori karbohidrat dalam pemakanan dan bukannya kepada nutrisi makanan menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.

Di samping itu, beliau juga berkata, pengambilan makanan yang diproses mengurangkan nutrisi makanan bagi mereka di bawah umur 18 tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, adalah sangat penting bagi ibu bapa untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan sihat untuk meningkatkan kesihatan seluruh keluarga.

Jelasnya, ibu bapa merupakan contoh kepada anak-anak dan tabiat pemakanan sihat ini perlu bermula dari rumah dan mereka perlu meningkatkan ilmu tentang gaya hidup sihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN