PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen yang tidak bersetuju nama-nama mereka yang ponteng didedahkan dalam laman web Dewan Rakyat perlu menunjukkan contoh lebih baik daripada pelajar sekolah.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, mereka perlu menonjolkan kepimpinan melalui teladan sekiranya mahu menjadi seorang wakil rakyat yang matang.
Katanya, semua pelajar sekolah wajib ke sekolah kerana tanggungjawab dan perkara sama berlaku dilakukan ahli-ahli Parlimen untuk hadir sidang Dewan Rakyat.
“Jadi sepatutnya kena buktikan semua MP (ahli Parlimen) lebih baik daripada budak sekolah. Bukan hanya terpekik terlolong dalam Parlimen berbahas dengan tidak matang dan isu yang tidak membantu rakyat sekalipun.
“Kita minta budak-budak sekolah wajib hadir ke sekolah kerana itu tanggungjawab mereka, maka salah satu tanggungjawab MP adalah hadir dan berbahas dengan matang isu rakyat di Parlimen.
“Kepimpinan melalui teladan, kalau budak sekolah kita minta mereka ada disiplin, kenapa tidak kita simple as that,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang menyebut ahli-ahli Parlimen sama ada blok kerajaan dan pembangkang menyifatkan tindakan mendedahkan nama-nama individu yang sengaja ponteng ke Dewan Rakyat sebagai sama seperti layanan kepada budak sekolah.
Kata mereka, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan kerana peranan wakil rakyat bukan sahaja hadir ke sidang mesyuarat tetapi juga merangkumi tugas besar terhadap pengundi dan kawasan dalam Parlimen yang diwakili.
Terdahulu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, nama Ahli-Ahli Parlimen yang didapati ‘ponteng’ dengan sengaja sidang Parlimen mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, perkara itu merupakan antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan Parlimen yang diwakili. – UTUSAN