KOTA BHARU: Penyedia perkhidmatan pelancongan ke Hatyai, Thailand mengakui tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan rakyat negeri ini untuk ‘makan angin’ ke negara Gajah Putih itu sempena cuti Deepavali.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Eniq World Travel Sdn. Bhd Datuk Mohd. Rowi Dollah berkata, permintaan perkhidmatan ke Hatyai meningkat dua kali ganda pada cuti Deepavali berbanding hujung minggu.
“Setakat ini perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak kami sudah penuh ditempah oleh para pelanggan. Kami tawarkan pekej serendah RM340 dan keatas.
“Ia merangkumi insuran, penginapan, pengangkutan, minuman dan pemandu pelancong,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Rowi memberitahu, kepelbagaian makanan yang enak dan unik selain belanja agak murah di negara berkenaan menjadi punca rakyat Malaysia suka ke Hatyai.
Katannya, pekej pelancongan yang murah turut menjadi salah satu tarikan ke negara Gajah Putih itu.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Hatyai di Thailand kini jadi ‘mini Malaysia’ apabila setiap cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan dipenuhi pelancong dari negara ini.
Dalam tempoh lapan bulan dari Januari sehingga Ogos, seramai 703,640 pelancong memasuki Thailand melalui sempadan negeri ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 555,304 memasuki Thailand melalui sempadan Padang Besar dan 148,336 melalui Wang Kelian. -UTUSAN










