ARAU: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah mendakwa ada pemimpin dalam parti itu cuba menikam beliau dari belakang sehingga tidak terpilih sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Menurut beliau, dua pemimpin Bersatu negeri itu didakwa sebagai dalang bagi menghalang pelantikannya untuk jawatan Exco.
Dakwa Abu Bakar, mereka mengatur agar Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli menolak pelantikannya bagi jawatan berkenaan walaupun beliau merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri.
“Saya akan ambil tindakan dan lapor dua dalang utama ini yang membelakangkan keputusan parti memandangkan nama saya telah dicadangkan sebagai Exco oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Exco yang berlangsung di Istana Arau di sini semalam.
Menerusi pelantikan Exco penggal ini, Abu Bakar mendakwa sekali lagi dinafikan pelantikan jawatan berkenaan dan digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak.
Dalam pada itu, Abu Bakar turut membidas pelantikan Wan Zikri kerana masih muda malah mendakwa tidak memegang sebarang jawatan dalam Bersatu negeri.
“Wan Zikri masih usia muda dan tak ada jawatan dalam Bersatu negeri sedangkan saya adalah Pengerusi Bersatu negeri.
“Malah kalau dilihat pada masa ini 95 peratus dalam pentadbiran hari ini adalah wakil Pas dan bukannya Bersatu,” katanya.
Selain itu Abu Bakar berkata, pihaknya sebelum ini pernah memanggil dua pemimpin Bersatu negeri berkenaan untuk mengikuti mesyuarat parti sebanyak empat kali namun tidak dihadiri oleh pihak terlibat.
Katanya, situasi yang berlaku itu secara jelas menunjukkan wujudnya cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan beliau menjelang pemilihan parti tidak lama lagi.
“Ada pihak tertentu tidak selesa dengan saya sebagai ketua dan melakukan cubaan tertentu bagi menjatuhkan saya,” katanya. – UTUSAN