Genggam watak Keluang Man, Nas-T sedar ada yang tak berpuas hati - Utusan Malaysia

Genggam watak Keluang Man, Nas-T sedar ada yang tak berpuas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Berjaya mengenggam watak adiwira yang diadaptasi daripada animasi ikonik tempatan, Keluang Man, pelakon, Nas-T, tidak menolak kemungkinan wujud pihak tertentu yang akan mempertikaikan kelayakannya sekali gus mengkritik kredibilitinya sebagai seorang aktor.

Menurut Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, dia tidak berupaya mengawal hak penonton dan peminat untuk mengeluarkan pandangan sendiri selain mengakui sudah bersedia untuk menerima segala kritikan yang membina.

“Jujurnya, saya membesar dengan animasi Keluang Man sejak usia 12 tahun lagi selain sangat meminati filem bercorak adiwira. Jadi apabila terpilih untuk membawakan watak Borhan dan Keluang Man ini, sudah tentulah saya terkejut dan gembira.

“Pada masa yang sama rasa bangga sebab Keluang Man ini satu watak animasi yang sangat ikonik dan dekat dengan peminatnya yang menbesar di era 90-an.

“Pun begitu, saya tahu mungkin ada tang tak berpuas hati dan mempertikaikan mengapa saya yang terpilih. Tak mengapa, saya bersedia terima kritikan sebab semua orang terbuka untuk mempunyai pendapat tersendiri,”katanya.

Nas-T berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman watak filem Keluang Man yang diadakan di The Bee, Publika, semalam.

Selain Nas-T, turut diumumkan pada majlis tersebut ialah tiga watak utama lain iaitu Shamsir yang dipegang oleh Remy Ishak, Ahmad yang menjadi milik Datuk Rosyam Nor serta Inspektor Sahab yang diberikan kepada Anwar Beg Mughal.

Selain itu, kata pelakon berusia 40 tahun ini, dia turut sedar bahawa bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak namun akan mencuba sebaiknya menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

“Satu tanggungjawab yang berat dan tak mudah sebab saya bimbang tidak mampu untuk merealisasikan watak ini dengan baik.

“Tapi dengan adanya sokongan daripada penggemar animasi ini, saya akan jadikannya sebagai pembakar semangat buat saya untuk melihat filem ini berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang bakal menjalani penggambaran filem ini selepas Aidilfitri tahun hadapan berkata, pihak produksi juga telah menyediakan beberapa program dan kelas untuk diikutinya secara intensif bagi memantapkan persembahan lakonannya untuk watak itu.

“Walaupun bakal mempersiapkan diri dengan menghadiri kelas ‘fighting’, saya tetap bimbang berlakunya kecederaan waktu penggambaran.

“Bagi saya ketakutan itu adalah lumrah. Bagaimanapun, saya percaya pada kekuatan skrip dan kredibiliti pengarah filem ini iaitu Anwari Asyraf.

“Saya yakin Anwari akan menjadikan filem ini sebuah naskah yang hebat sekali gus bakal mengumpul ramai peminatnya yang tersendiri kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya