48 PMKS sertai Program Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang

48 PMKS dibimbing melalui Program Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang

MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick (tiga dari kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada peserta SCORE 5 Bintang, Grace Fong (dua dari kiri) dan Low Hin Foo (tiga dari kiri) pada Majlis Penutup dan Apresiasi Program Perintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang di bangunan SME Corporation, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 48 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bertaraf 4 ke 5 bintang yang terpilih menyertai Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang telah berjaya menyelesaikan program itu dengan cemerlang.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, program yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia bertujuan menggalakkan PMKS disenaraikan syarikat di Bursa Malaysia dan seterusnya meningkatkan modal dan profil mereka dalam pasaran domestik dan antarabangsa melalui sokongan bersepadu.

Katanya, program tersebut turut membantu PMKS menerokai pasaran eksport menerusi sesi padanan perniagaan bersama Trade Linker yang berpengalaman dalam aktiviti eksport.

Menurutnya, pemilihan peserta dibuat dari kalangan PMKS bertaraf 4-5 bintang di bawah SCORE sebagai kesinambungan kepada program tersebut.

“Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang telah berjaya dilaksanakan dari 5 hingga 6 September 2023 iaitu yang merupakan salah satu usaha SME Corp. Malaysia untuk memperkukuh PMKS supaya lebih berdaya saing serta mampu dilonjakkan ke pasaran global.

“Di bawah inisiatif ini, PMKS didedahkan dengan strategi penyenaraian, usaha wajar (due diligence) penyenaraian, pengenalan kepada Tawaran Awam Permulaan serta kisah kejayaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup dan Apresiasi Program Perintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang.

Justeru beliau berkata, SME Corp. Malaysia akan sentiasa kekal komited dalam memastikan keupayaan PMKS dapat dipertingkatkan serta penglibatan usahawan kecil ini yang berterusan dalam rantaian bekalan global dengan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.

Sementara itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak 21 daripada 48 PMKS yang terlibat program itu, telah mula merancang untuk penyenaraian di Bursa Malaysia.

Menurutnya, sebanyak 10 daripada 21 PMKS yang dimaksudkan bakal melaksanakannya dalam masa terdekat.

Tambahnya, sementara baki 11 PMKS lagi dijangka berbuat demikian dalam masa lima sehingga 10 tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 12 PMKS turut akan meluaskan pasaran baharu di luar negara dengan melalui perkhidmatan Trade Linker yang disediakan di bawah program itu.

“Kerajaan berhasrat melihat lebih banyak PMKS membuat lonjakan serta mengorak langkah dan seterusnya beralih menjadi syarikat besar iaitu melepasi definisi PMKS.

“Ini seterusnya bakal menyumbang kepada pencapaian sasaran penanda aras di bawah kerangka Ekonomi MADANI iaitu kedudukan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar di dunia dan Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia,” katanya.

SCORE membolehkan SME Corp. Malaysia menilai PMKS secara kuantitatif mengikut kriteria khusus bagi memastikan bantuan diberikan dengan lebih bersasar dan menyeluruh.

Penilaian SCORE dilaksanakan berdasarkan parameter berbeza mengikut sektor dan saiz PMKS yang mana syarikat yang dinilai akan diberikan penarafan daripada 1-5 bintang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya