4 disangka tertimbus rupanya masih hidup, lari dari lokasi kejadian runtuhan - Utusan Malaysia

4 disangka tertimbus rupanya masih hidup, lari dari lokasi kejadian runtuhan

MOHAMAD USUF JAN Mohamed (kanan) dan Zulfahmi Sutaji dalam sidang akhbar berkenaan tragedi runtuhan tiang rasuk konkrit di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Seramai empat pekerja buruh binaan warga Bangladesh yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan rasuk di tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung di sini, didapati masih hidup.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kesemua mereka memang berada di lokasi ketika kejadian berlaku, namun telah melarikan diri kerana ketakutan.

”Polis dapat mengesan empat pekerja tapak binaan tersebut kira-kira pukul 4 petang tadi di sekitar Bayan Lepas.

“Rakaman percakapan mereka telah diambil, kita kenal pasti melalui kamera yang dirakam di tempat kejadian iaitu pada pukul 9.06 malam sebelum kejadian itu berlaku.

“Mereka memang berada di tempat kejadian tersebut semasa runtuhan berlaku tetapi sempat melarikan diri,

mereka masih hidup cuma lari ketakutan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka mungkin melarikan diri kerana ketakutan dan mungkin juga mereka tidak mempunyai permit kerja yang sah.

”Kesemua mereka telah ditahan dan polis akan menjalankan siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan sejak 10.30 malam semalam telah dihentikan pukul 6.30 petang tadi.

”Kita telah memutuskan setelah kita membuat operasi mencari dan menyelamat ini, kita tidak menjumpai mana-mana mangsa lain di tempat kejadian.

”Jadi mangsa kekal lima orang, tiga meninggal dunia dan dua cedera parah, itu dapatan kita setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut berkaitan insiden runtuhan akan dijalankan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), DOSH dan sebagainya.

”Dapatan siasatan mereka akan diserah kepasa polis kalau ada elemen tertentu yang mungkin akan klasifikasikan kes sebagai mati mengejut kepada seksyen lain yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB), Zulfahmi Sutaji berkata, pihak bomba akan mengurangkan kekuatan anggota di lokasi berkenaan dan pasukan bomba dari balai Bayan Lepas akan berada di lokasi kejadian buat masa ini.

”Mereka akan maklumkan sekiranya ada apa-apa perkara baharu, kita akan terus serah tapak lokasi kepada agensi berkaitan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya