325 mangsa banjir di Terengganu berpindah  - Utusan Malaysia

325 mangsa banjir di Terengganu berpindah 

PEMANDANGAN dari udara kawasan dilanda banjir di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu, hari ini.- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 325 orang daripada 106 keluarga pada pukul 4 petang ini berbanding 184 mangsa daripada 67 keluarga pada pukul 12 tengah hari tadi. 

Setiu menjadi daerah ketiga yang dilanda banjir dengan pembukaan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan PPS ialah di tujuh lokasi ketika ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan adalah di daerah Kuala Nerus iaitu 176 orang daripada 64 keluarga.

Kesemua mereka kini berlindung di empat PPS di daerah tersebut.

“Di Kuala Terengganu pula terdapat dua PPS sedang beroperasi yang menempatkan 141 mangsa daripada 38 keluarga.

“Daerah terbaru, Setiu pula terdapat satu PPS dibuka menempatkan lapan mangsa daripada tiga keluarga,” katanya hari ini.

Secara keseluruhan, hujan yang melanda seluruh negeri menunjukkan penerimaan hujan sangat tinggi melebihi 200 milimeter terutama di daerah Kuala Terengganu.

Manakala empat lagi daerah iaitu Kuala Nerus, Besut, Setiu dan Marang pula merekodkan penerimaan hujan melebihi 100 milimeter.

Sementara itu, paras air di sungai utama negeri ini menunjukkan tanda-tanda peningkatan ekoran cuaca hujan lebat berterusan sejak semalam.

Berdasarkan laman rasmi Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), satu sungai di Kuala Nerus mencatatkan bacaan melebihi paras berbahaya.

Ia merekodkan bacaan 3.85 meter iaitu air Sungai Terengganu di parit Kampung Padang Kemunting dekat Kuala Nerus, iaitu melepasi paras berbahaya 3.80 meter setakat 4.30 petang.

Selain itu, dua lagi sungai turut menunjukkan paras bacaan meningkat melepasi paras amaran dan berwaspada.

Salah satu daripadanya adalah air Sungai Setiu dekat Jambatan Chalok, Kampung Chalok yang mencatatkan bacaan 8.38 meter berbanding paras normal 5 meter.

Paras air sungai sama di Kampung Besut juga dalam daerah Setiu pula berada pada paras 16.50 meter, melepasi paras normal 13.30 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya