200 peserta B40 sertai program ECERDC-Yayasan Petronas

Latihan kemahiran, keusahawanan ECERDC-Yayasan Petronas tingkat pendapatan B40

WAN Rosdy Wan Ismail (tujuh, kanan) bergambar bersama peserta latihan kemahiran dan keusahawanan pada majlis pelancaran Program ECERDC dan Yayasan Petronas di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 200 peserta terdiri daripada golongan B40 menyertai latihan kemahiran dan keusahawanan anjuran Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) dan Yayasan Petronas dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di daerah Jerantut, Pahang bermula Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif UMT Jaya Holdings Sdn. Bhd., Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, program pembangunan modal insan ECER itu menawarkan kursus secara percuma bagi tempoh 24 bulan yang menggabungkan elemen latihan dan bimbingan kepada peserta.

AHMAD RAMZI MOHAMMAD ZUBIR

Menurutnya, latihan keusahawanan itu melibatkan peserta yang berumur dari 18 hingga 45 tahun seperti golongan B40, graduan dan belia yang menganggur, ibu tunggal serta usahawan kecil.

Katanya, para peserta mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar terlatih dan pensyarah daripada UMT untuk memastikan maklamat meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat terutamanya golongan B40 tercapai.

“ECERDC dan Yayasan Petronas menyasarkan mereka dapat meningkatkan pendapatan sekurang-kurangnya sekali ganda berbanding sebelum menyertai latihan tersebut.

“Pada masa sama, peserta tersebut diharapkan dapat keluar dari kelompok B40,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Program ECERDC-Yayasan Petronas peringkat negeri Pahang telah dirasmikan Menteri Besar Pahang, YAB Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang, pada 4 Julai lalu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat dan Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri UMT, Prof. Madya Dr. Zuha Rosufila.

Ahmad Ramzi memberitahu, latihan tersebut diadakan pada hujung minggu untuk membolehkan peserta mengikut setiap latihan yang ditetapkan.

Katanya, setiap peserta yang berjaya menamatkan latihan itu akan menerima kit permulaan perniagaan bernilai RM1,000, selain diberi bimbingan berterusan selama 10 bulan lagi.

Malah, tambahnya, peserta tersebut akan juga ditawarkan untuk menyertai aktiviti pemasaran dalam program-program ekspo keusahawanan serta peluang untuk mendapat bantuan modal daripada agensi-agensi Kerajaan.

“Langkah tersebut diambil untuk memastikan peserta tersebut dapat meningkatkan pengurusan perniagaan dan pemasaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya