Wan Saiful akan dituduh lagi di bawah AMLA esok

Wan Saiful akan dituduh lagi di bawah AMLA esok

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan memberitahu bahawa dirinya akan dituduh lagi di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA), esok.

Mengesahkan beliau  akan hadir ke mahkamah, bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau akur dan menerima arahan untuk hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi esok.

Menurutnya, beliau dimaklumkan terdapat pertuduhan baharu akan dikenakan terhadapnya di bawah akta AMLA.

“Butiran pertuduhan masih belum jelas setakat ini.

“Saya akan hadir untuk mempertahankan diri dan saya yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk saya mendapatkan keadilan,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook hari ini.

Pada masa sama, Wan Saiful turut berterima kasih kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disifatkan menjalankan tanggungjawab mereka dengan berhemah dalam melakukan soal siasat terhadapnya.

Wan Saiful kini menghadapi perbicaraan berhubung dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.92 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Dalam pertuduhan pertama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta suapan sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur.

Mengikut pertuduhan kedua, Wan Saiful dituduh menerima suapan berjumlah RM6.92 juta menerusi akaun syarikat WSA Advisory Group Sdn Bhd Bank CIMB cawangan Bukit Tungku, Taman Tunku di sini, 8 Julai 2022.

Wang berkenaan, dipindahkan dari akaun Maybank Islamic Bhd. kepada akaun syarikat milik tertuduh dipercayai sebagai upah mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek Lebuhraya CSR bernilai RM223 juta.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut 

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN