PETALING JAYA: Penerima Anugerah Maulidur Rasul menyeru kepada rakyat Malaysia dan umat Islam seluruh dunia untuk memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada rakyat dan pejuang di Palestin.
Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, rakyat Palestin adalah pihak yang benar yang hampir 100 tahun ditindas dan dihina.
Katanya, ketidakadilan dan pendekatan apartheid terhadap penduduk Palestin meninggalkan kesan yang serius selepas setiap hari mereka berasakan terpinggir dan tertekan.
“Israel yang ingin menutup kesalahan dan kekalahan dari segi ketenteraan, moral dan politik kerana timbal balik pejuang Palestin pada 7 Oktober lepas telah bertindak ganas melalui serangan besar-besaran yang bertujuan menunjukkan kepada dunia bahawa merekalah yang tidak bersalah dan berhak mempertahan diri.
“Sedangkan sudah 75 tahun kekejaman berterusantentera dan rakyatnya terhadap penduduk sah Palestin yang tinggal di Gaza dan Tebing Barat khususnya serta serangan ke atas Kem Palestin Sabra dan Satila pada 1982 yang mengorbankan sehingga 3,500 jiwa.
“Kezaliman Israel sejak Nakba pada 1948 yang mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan lebih 500 penempatan dan perkampungan dimusnah dan dirampas manakala sejumlah 700,000 penduduk Palestin keluar dari kampung halaman dan menjadi pelarian di kem-kem pelarian di sekitar Gaza, Tebing Barat, Jordan, Syria dan Lubnan serta telah menderita sehingga generasi ketiga hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Mohd. Zin berkata, umat Islam perlu teruskan berdoa kerana doa adalah senjata mukmin.
“Hulurkanlah apa jua bentuk bantuan kepada rakyat Palestin. Mereka mewakili umat ini menjadikan fikiran dan jiwa mereka untuk memelihara Al-Aqsa dan bumi Palestin sebagai pejuang di barisan hadapan dengan izin Allah.
“Kita semua harus terus memberi sokongan dan dukungan walaupun berada ribuan kilometer jauh dari mereka, tetapi doa dan perasaan kita perlulah sentiasa bersama para rakyat dan pejuang Palestin sehingga nyawa kita diambil semula oleh Allah SWT.
“Sebarkan kebenaran perjuangan rakyat dan pejuang Palestin kepada anak-anak dan seluruh rakyat Malaysia. Hulurkan sumbangan dan infaq bagi membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan misi-misi bantuan untuk Palestin,” katanya. – UTUSAN










